Adakah Wang Pencen Dikira Sebagai Harta Pusaka?

Seorang ayah meninggal dunia. Dia meninggalkan tujuh orang anak.

Tiga orang anak perempuan masih belum berkahwin (dua tidak bekerja dan tinggal bersama ayah, seorang lagi bekerja dan tinggal sendiri)

Soalan: Adakah wang berikut dikira sebagai harta pusaka?

  1. Wang sedekah dari saudara mara dan kenalan selepas kematian ayah
  2. Wang pencen yang ada di dalam simpanan (dalam tangan) ayah
  3. Duit simpanan ayah di dalam bank
  4. Bayaran pencen terakhir yang diterima selepas kematian ayah (contoh si ayah meninggal dunia pada 1 Disember, bayaran pencen diterima pada 15 Disember)

Jawapan:

1.   Tidak dikira sebagai harta pusaka dan ahli keluarga boleh mengambil manfaat dengannya. Hal ini kerana harta itu dianggap sebagai sedekah atau pemberian, dan ia bukan menjadi milik si ayah sebelum kematiannya.

2.   Tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka. Kerana harta itu menjadi milik ayah sebelum kematiannya.

3.   Harta pusaka. Sama seperti jawapan nombor dua di atas.

4.  Tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka.

Ringkasnya, bayaran pencen ini dikenali sebagai Pencen Terbitan. Pencen Terbitan merupakan suatu faedah persaraan yang dibayar setiap bulan kepada balu atau duda, dan anak anggota berpencen atau pesara yang telah meninggal dunia.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-21 yang bersidang pada 12 Sep 1988 telah membincangkan Ganjaran Terbitan Dan Pencen Terbitan. Muzakarah telah memutuskan bahawa ganjaran terbitan dan pencen terbitan tidak termasuk sebagai harta pusaka, maka kaedah pembahagiannya tidak tertakluk kepada kaedah pembahagian harta pusaka.

Wallahua’lam.

0 comments… add one

Leave a Comment