Bajet 2015 – Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)

[Artikel ini dipetik dari laman sesawang Al Naqiy Islamic Solutions Sdn. Bhd.]

Dalam pembentangan Bajet 2015 yang lalu, Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah menekankan mengenai hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Menurut beliau, pada 1997 sehingga kini, seramai 2.1 juta rakyat Malaysia telah mengambil pinjaman berjumlah 47.8 bilion ringgit. Namun demikian, setakat 31 Ogos 2014, hanya 5.36 bilion ringgit atau 46 peratus daripada 11.76 bilion ringgit telah dikutip. Menurut beliau lagi, terdapat seramai 174 ribu peminjam, yang langsung tidak pernah membayar balik setakat 2010.

Beliau memetik hadis yang menyatakan bahawa roh orang beriman itu tergantung-gantung dengan sebab berhutang. Bahkan dosa orang mati syahid pun diampuni melainkan jika dia mempunyai hutang.

Bagi menggalakkan peminjam membayar kembali pinjaman mereka, kerajaan mencadangkan supaya 10 peratus rebat diberikan sekiranya peminjam membuat bayaran balik pinjaman secara berterusan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2015. Sebagai tambahan, tawaran diskaun 20 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat penyelesaian secara sekaligus atau lump sum mulai hari ini sehingga 31 Mac 2015. (Rujuk teks Bajet 2015, perkara no. 89, 90, 91 & 92)

Ulasan

Petikan hadis hutang yang disebut dalam teks Bajet 2015 adalah merujuk kepada dua hadis berikut:

Pertama adalah hadis riwayat al-Tirmizi, Nabi Muhammad sallallahu’alayhi wasallam bersabda:

نَفْسُ اَلْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ، حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksud: “Roh orang beriman yang berhutang tergantung sehinggalah hutang itu dilunaskan.”

Sementara yang kedua pula adalah hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad sallallahu’alayhi wasallam bersabda:

يُغْفَرُ لِلشَّهِيدِ كُلُّ ذَنْبٍ إِلاَّ الدَّيْنَ

Maksud: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).”

Dua hadis di atas secara jelas menunjukkan bahawa membayar hutang adalah satu tanggungjawab yang wajar diberikan perhatian serius.

Dalam Islam, al-Quran dan hadis yang menjadi sumber utama perundangan hukum tidak menyebut secara jelas saranan mahupun larangan berhutang. Sebaliknya, syariat Islam hanya menggariskan cara berhutang dengan betul. Hal ini menunjukkan bahawa berhutang adalah harus.

Aktiviti berhutang boleh menjadi baik dan tidak baik, bergantung kepada bagaimana ia diuruskan. Aktiviti berhutang yang baik adalah aktiviti yang dilakukan pada perkara yang perlu dan tujuan yang bermanfaat.

Memang tidak dinafikan, ada kalanya kita perlu berhutang. Dalam kehidupan sekarang, kenderaan, tempat tinggal, pendidikan, perubatan dan perniagaan adalah antara perkara yang menjadi keperluan asas kebanyakan individu. Mereka berhutang untuk membeli kereta dan rumah, membayar yuran pengajian dan kos rawatan serta memulakan perniagaan.

Sebagai contoh dalam bidang pendidikan tinggi, pinjaman adalah alternatif yang menjadi pilihan bagi golongan pelajar yang tidak berkemampuan atau yang tidak berpeluang mendapat biasiswa. Dengan pinjaman yang diperoleh, mereka boleh mengikuti pengajian di institusi-institusi pengajian tinggi dan menikmati peluang belajar seperti pelajar-pelajar yang lain.

Cabaran timbul apabila mereka yang telah menamatkan pengajian tidak membayar kembali pinjaman mereka. Bagi penulis, situasi ini berlaku kerana faktor dalaman dan luaran. Faktor dalaman berkait rapat dengan sikap peminjam itu sendiri. Sementara faktor luaran pula mempunyai kaitan rapat dengan peluang pekerjaan dan kos sara hidup yang meningkat. Tambahan pula, jika si peminjam mempunyai komitmen lain seperti tanggungan ibu bapa atau keluarga terdekat.

Namun begitu, para peminjam tidak seharusnya lupa akan tanggungjawab mereka untuk membayar kembali hutang mereka. Kita telah pun tahu hadis yang menyebut keadaan orang yang tidak membayar hutang. Dengan tawaran rebat sebanyak 10% dan 20% yang kerajaan tawarkan, para peminjam perlu segera bertindak.

Nabi sallallahu’alayhi wasallam bersabda:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ

Maksud: “Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sungguhpun begitu, penulis berharap supaya tempoh tawaran rebat ini dipanjangkan dan bukannya terhad pada masa tertentu sahaja. Harapan ini bagi memberi ruang dan peluang kepada para peminjam mengatur semula perbelanjaan dan membayar kembali pinjaman mereka, insya-Allah.

Allah subhanahu wa ta’ala berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 280:

HutangPTPTN

Maksud: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

Dalam ayat di atas, orang yang memberi pinjaman disarankan supaya memberi tempoh kepada peminjam yang dalam kesempitan untuk membayar hutang. Bahkan pemberi pinjaman juga amat disarankan untuk menjadikan hutang yang mereka berikan sebagai kebajikan dan ia dapat dilakukan melalui pelbagai cara sebagai contoh pemberian biasiswa atau pendidikan percuma.

Selain itu dalam aktiviti berhutang, cara yang baik adalah dengan melaksanakan hutang yang baik (al-qard al-hasan). Hutang yang baik adalah hutang yang diberikan atas dasar kebajikan tanpa mengenakan sebarang faedah ke atas jumlah hutang tersebut. Al-Quran dan hadis telah menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda bagi sesiapa yang melakukan pinjaman yang baik.

Oleh itu, penulis amat berharap supaya caj perkhidmatan 1% yang dikenakan kepada para peminjam PTPTN dimansuhkan. Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan YB Senator Dato’ Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki yang menegaskan dalam blog beliau bahawa sudah tiba masanya kerajaan memansuhkan terus caj perkhidmatan yang dikenakan kepada peminjam.

Pada pandangan beliau, mekanisme caj perkhidmatan yang dilakukan oleh PTPTN yang mengenakan caj 1% ke atas nilai pinjaman adalah tidak menepati piawaian Syariah The Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) dan pandangan majoriti ulama di peringkat antarabangsa yang hanya membenarkan caj berpandukan kos sebenar.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman turut mengemukakan pendirian yang sama. Menurut beliau, cara kiraan 1% tetap tidak berjaya menembusi piawaian hukum yang diputuskan oleh para ulama antarabangsa. Hal ini kerana cara kiraan tersebut dilakukan berasaskan jumlah pinjaman dan bukannya kos sebenar urusan pemberian pinjaman.

AAOIFI dalam Piawaian Syariah, no. 19 menyebut: “Institusi yang memberi pinjaman dibenarkan mengenakan caj atas perkhidmatan pemberian hutang sebagaimana kos sebenar yang dibelanjakan dalam melaksanakan perkhidmatan tersebut. Mereka tidak dibenarkan mengenakan caj melebihi kos perkhidmatan sebenar. Semua caj yang melebihi kos sebenar perkhidmatan adalah haram.”

Sebagai penutup, bagi para pelajar yang telah mengambil pinjaman PTPTN, mereka tidak perlu menggalas sebarang tanggungan berhubung permasalahan ini. Caj perkhidmatan yang diamalkan sekarang telah disahkan oleh sebahagian ulama di Malaysia. Justeru itu, kita mendoakan semoga ijtihad mereka mendapat ganjaran yang setimpal daripada Allah subhanahu wa ta’ala. Kita juga mendoakan mudah-mudahan usaha penambahbaikan akan terus dilakukan demi memastikan cita-cita Malaysia untuk menjadi role model dalam bidang perbankan dan kewangan Islam benar-benar tercapai, insya-Allah.

0 comments… add one

Leave a Comment