≡ Menu

Bayar Kad Keahlian, Dapat Diskaun

Seperti biasa apabila ingin melakukan pembayaran di mana-mana kedai, juruwang (cashier) dilatih untuk berkata: “ada membership card?”

Saya menjawab: “tak ada.”

Jurujual bertanya lagi: “tak mahu apply membership card? Ada diskaun bila beli.”

Saya bertanya: “yuran keahlian tahunan atau sekali bayar sahaja, atau percuma?”

Jarang mendapat kad keahlian yang percuma. Jawapan yang biasa saya terima adalah ada yuran keahlian, sama ada tahunan atau bayaran semasa memohon sahaja.

Membayar Wang untuk Mendapatkan Wang?

Saya mempunyai isu dengan kad keahlian berbayar. Kita membayar untuk mendapatkan diskaun.

Ambil contoh kad keahlian dengan yuran tahunan serendah RM10. Berapa kali kita perlu datang ke kedai, membuat sejumlah pembelian untuk menikmati diskaun berjumlah RM10?

Penjual boleh sahaja memberi diskaun tanpa perlu pelanggan memohon kad keahlian berbayar.

Jenis Kad Keahlian & Hukum

Saya pernah menulis artikel fiqah muamalat mengenai hukum kad keahlian dan diterbitkan dalam majalah al-Ustaz no. 63.

Kad keahlian dapat dibahagikan kepada dua:

  1. Kad yang ditawarkan untuk tujuan mempromosi barangan dengan dikenakan bayaran
  2. Kad yang diberi percuma tanpa dikenakan bayaran

Bagi jenis kad yang diberi percuma atau hanya dibayar sekali sahaja ketika mendaftar dan bayaran itu dikira sebagai harga kad tersebut, maka hukumnya adalah harus. Diskaun yang diberikan oleh syarikat tersebut dikira sebagai hadiah kepada pelanggannya. Ia juga dianggap sebagai janji yang dibuat oleh syarikat. Mereka harus menunaikan janji untuk memberikan diskaun kepada pemegang kad.

“Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia).”


Surah al-Isra’, ayat 34

Sementara bagi jenis kad yang pertama di mana yuran berkala dikenakan seperti setahun sekali atau enam bulan sekali, ia menimbulkan persoalan.

#1 Gharar

Majlis Kesatuan Ulama Fiqh Sedunia dalam persidangan ke-18 memutuskan bahawa tidak boleh mengeluarkan kad keahlian atau kad diskaun jenis ini kerana ia mengandungi unsur ketidakpastian (gharar).

Apabila pemegang kad membayar sejumlah wang, dia tidak tahu apa yang dia akan dapat. Dia telah menanggung kerugian yang pasti bagi mendapatkan keuntungan yang belum tentu pasti. Wujud unsur spekulasi.

“Rasulullah melarang jual beli gharar.”


Hadis riwayat Imam Muslim

#2 Judi

Mirip unsur perjudian. Pemegang kad mendapat untung apabila jumlah diskaun yang dia dapat melebihi apa yang dia bayar. Sebaliknya dia rugi apabila dia mendapat kurang daripada apa yang dia bayar.

Allah berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”


Surah al-Maaidah, ayat 90

Wallahua’lam.

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.