≡ Menu

Bayar Zakat Sebelum Cukup Setahun (Haul)

Saya petik artikel ini (dengan sedikit suntingan) dari laman darulilmi.org, dikelola oleh sahabat PU Salman.

Persoalan mengenai adakah sah jika seorang Muslim membayar zakat sebelum cukup setahun?

Bayar Zakat Sebelum Cukup Setahun (Haul)

Ulama berselisih pendapat tentang hukum mempercepatkan bayaran zakat kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama

Harus mengeluarkan zakat sebelum sampai cukup haul. Ini pendapat kebanyakan ulama seperti mazhab Syafie, Hanafi, Hambali, Said Ibn Jubair, Al-Zuhri, Hasan Al-Basri dan lain-lain.

Dalil 1:

أن العباس بن عبد المطلب عم رسول الله صلى الله عليه وسلم ، سأل الرسول عليه الصلاة والسلام في تعجيل صدقته قبل أن تحلَّ، فرخص له في ذلك

Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi dengan sanad yang dinyatakan oleh Imam Nawawi sebagai “Hasan”: Al Majmuk 6/145.

“Sesungguhnya Abbas Ibn Abdul Muttalib bapa saudara Rasulullah SAW bertanya kepada Baginda SAW tentang hukum mempercepatkan zakat sebelum tiba waktunya. Baginda SAW membenarkannya.”

Dalil 2:

Nabi SAW berkata kepada Umar Ibn Al-Khattab:

إنا أخذنا زكاة العباس عام الأول للعام

Hadis hasan sahih riwayat Abu Daud dan Tirmizi

“Sesungguhnya kami telah mengambil zakat Abbas setahun lebih awal.”

Dalil 3 – Kaedah Feqah:

لله تبارك وتعالى حق على العباد في أنفسهم وأموالهم: فالحق الذي في أموالهم إذا قدَّموه قبل محلّه: أجزأهم

“Allah SWT mempunyai hak yang wajib ditunaikan oleh hamba-hambanya pada diri dan harta mereka. Hak harta yang mereka tunaikan sebelum sampai masanya adalah sah.”

Kaedah di atas diambil dari ayat yang membenarkan bayar mut’ah penceraian sebelum cerai dan hadis yang membenarkan bayar kafarah sebelum langgar. Ayat Al-Quran dan hadis adalah seperti berikut:

فَتَعَالَيْنَ أُمَتِّعْكُنَّ وَأُسَرِّحْكُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Surah Al-Ahzab, ayat 29

“Marilah aku bayar mut’ah dan ceraikan kamu dengan cara yang baik.”

مَنْ حَلَفَ عَلَى يَمِينٍ ، فَرَأَى غَيْرَهَا خَيْرًا مِنْهَا ، فَلْيَأْتِهَا وَلْيُكَفِّرْ عَنْ يَمِينِهِ

Sahih Muslim, 1650

“Sesiapa yang bersumpah tetapi dia berpandangan melanggar sumpah lebih baik, hendaklah dia membayar kaffarah dan buatlah yang melanggar sumpah itu.”

Pendapat Kedua

Tidak sah membayar zakat harta sebelum sampai masanya. Ini pendapat mazhab Maliki, Daud, Hasan dan Ibn Munzir.

Dalil:

Hadis berikut:

لا زكاة على مال حتى يحول عليه الحول

Hadis riwayat Abu Daud, Ahmad dan Baihaqi.

“Tidak wajib zakat pada harta sehinggalah berlalunya setahun”

Ulama Maliki mentafsirkan hadis di atas dengan tidak sah zakat. Manakala ulama lain mentafsirkan dengan tidak wajib, bukannya tidak sah.

Kesimpulan – Adakah Sah Membayar Zakat Sebelum Cukup Setahun (Haul)?

Pendapat kebanyakan ulama yang mengatakan sah zakat yang dikeluarkan sebelum cukup setahun adalah pendapat yang lebih kuat.

Wallahua’lam.

0 comments… add one

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Next post:

Previous post: