Bergelumang dalam Harta Yang Tidak Halal – Artikel Khas Ramadan

Bulan Ramadan

Antara kesilapan yang biasa dilakukan adalah memasuki dan melepasi bulan Ramadan dalam keadaan harta masih terlibat dengan perkara yang tidak halal.

Kita masuk bulan Ramadan dengan harta yang tidak bersih seperti menyimpan barangan curi, mengekalkan harta hasil riba atau rasuah dan tidak mengeluarkan zakat pendapatan dan harta serta tidak pula berazam untuk menyucikannya.

Bulan Ramadan adalah bulan mulia, bulan di mana Allah melimpahkan rahmat, seluas-luasnya. Pada bulan ini, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa.

Apa yang paling penting ketika berdoa adalah iman iaitu kepercayaan kita kepada Allah yang maha mendengar. Selain itu, apa yang kita makan atau minum juga memberi kesan.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, Nabi menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit (berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram. Maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya.

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan pendapatannya adalah dari sumber yang tidak halal.

Benar, rahmat Allah maha luas. Namun sebagai hamba, kita disuruh untuk berusaha setakat mana yang mampu bagi membebaskan diri daripada sumber pendapatan yang tidak halal.

Dalam hadis lain riwayat Imam al-Tirmizi, Nabi menyebut bahawa di akhirat kelak, kaki anak Adam tidak akan berganjak dari sisi Tuhannya sehinggalah dia ditanya tentang 5 perkara: Umurnya ke mana ia dihabiskan? Masa mudanya ke mana ia dihabiskan? Hartanya dari mana ia diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan? Akhir sekali, ilmunya apa yang ia diamalkan?

Oleh itu, peluang yang ada di bulan mulia ini mesti dimanfaatkan sepenuhnya dengan berusaha membersihkan harta pendapatan daripada unsur-unsur yang tidak halal, insya-Allah.

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *