Dalam surah At-Taubah, ayat 71, Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Zakat dan Taqwa

Taqwa mempunyai kaitan yang amat rapat dengan keimanan yang teguh kepada Allah, iaitu dengan melaksanakan perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Sebagai contoh, apabila Allah melarang meninggalkan saki-baki riba, Allah mendahului dengan menyebut taqwa. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.” (Surah al-Baqarah 2:278)

Jika dalam bab mengeluarkan zakat pula, Allah juga menghubungkannya dengan taqwa. Allah berfirman yang bermaksud: “Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” (At-Taubah 9:18)

Ringkasnya, perintah mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya mampu dipatuhi oleh mereka yang ‘kental’ imannya. Mereka meyakini adanya hari akhirat dan proses hisab atas segala amal perbuatan di dunia.

Zakat Takaful Umat

Zakat adalah satu sistem pengurusan kewangan yang penting dalam Islam, di samping wakaf. Kedua-duanya mengajar erti hidup dengan memberi dan berjasa.

Zakat datang di titik pertengahan. Ia mengisi ruang kekosongan dan menghubungkan di antara yang atas dan bawah, senang dan susah serta kaya dan miskin.

Zakat boleh juga disebut sebagai takaful umat. Sesuai dengan maksud takaful untuk saling membantu dan menolong, zakat juga berperanan sebagai instrumen untuk menjamin kelangsungan sesebuah masyarakat. Zakat melindungi mereka daripada belenggu dan kesempitan hidup.[1]

Oleh sebab itu, di antara hikmah mengeluarkan zakat adalah menyemai sensitiviti yang tinggi dalam kalangan umat Islam sehingga menumbuhkan sifat pengasih dan penyayang dalam diri orang-orang kaya terhadap asnaf zakat, dan menghakis sifat iri hati dan buruk sangka asnaf zakat terhadap orang-orang kaya.[2]

Apabila seseorang mengeluarkan zakat, seiring dengan mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan sembahyang, dia telah menjadi seorang Muslim, tergolong dalam kalangan komuniti Muslim dan layak mendapat hak sebagai seorang saudara Muslim.[3]

Allah menyebut: “Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama.” (Surah al-Tawbah 9:11)

Berlari Mengejar Rahmat Allah

Jadi, apakah kaitan di antara mengeluarkan zakat dan berlari mengejar rahmat Allah?

Artikel ringkas ini menyimpulkan bahawa apabila kita mengeluarkan zakat, kita telah menunaikan satu salah daripada lima rukun Islam.

Zakat membersihkan jiwa daripada kotoran dalaman dan menyubur sifat pemurah dan berkasih sayang sesama insan. Zakat juga menanam rasa keyakinan yang tinggi kepada rezeki Allah. Keyakinan ini tidak datang sekaligus, ia dibentuk dengan latihan yang berterusan, iaitu berterusan melaksana perintah Allah dan meninggalkan laranganNya. Itulah salah satu daripada maksud taqwa.

Dengan melaksanakan suruhan Allah, kasih sayangNya bertambah, berkat bercambah dan rezeki pun melimpah, InshaAllah.

Dengan zakat, menjemput rahmat dan membawa berkat, aamiin.

Artikel ini diakhiri dengan firman Allah yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.” (Al-A’raaf 7:96)

Wallahua’lam.

Gambar asal: Linh Nguyen


[1] Hamizul Abdul Hamid, Eksklusif Zakat, h. 11.

[2] Ibid, h. 9.

[3] Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, p. xix.