≡ Menu

Bolehkah Mengambil Harta Anak Yatim?

Seorang yang tiada pendapatan menjaga tiga orang anak yatim. Bolehkah dia mengambil manfaat bersama ke atas harta anak yatim?

Syariat melarang memakan harta anak yatim secara salah (batil). Allah melarang keras dalam al-Quran:

Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api sepenuh perutnya dan mereka akan masuk ke dalam api yang menyala-nyala (neraka).

Surah al-Nisaa’, ayat 10

Terdapat juga petunjuk supaya harta anak yatim ini diuruskan dengan baik oleh orang yang diberikan tanggungjawab untuk menguruskannya. Dibolehkan juga untuk mengambil sedikit dari harta tersebut untuk kegunaan yang makruf.

Dan janganlah kamu makan harta anak yatim lebih dari batas kepatutan dan (janganlah kamu) tergesa-gesa (membelanjakannya) sebelum mereka dewasa. Barang siapa (di antara pemelihara itu) mampu, maka hendaklah ia menahan diri (dari memakan harta anak yatim itu) dan barangsiapa yang miskin, maka bolehlah ia makan harta itu menurut yang patut.

Surah al-Nisaa’, ayat 6

Sebagai contoh, sekiranya orang yang menguruskan harta anak yatim itu dalam kalangan fakir atau miskin, dia boleh mengambil upah dari harta tersebut.

Maksud Makruf

Para ulama berbeza pendapat maksud mengambil secara makruf:

  1. Meminjam dari harta tersebut dan kemudian memulangkannya
  2. Mereka yang miskin tidak perlu untuk memulangkan harta tersebut setelah meminjamnya, selagi mana ianya diambil untuk perkara makruf – pendapat majoriti

Selain itu, maksud makruf adalah tidak bermewah-mewahan dan berlebihan dalam menikmati harta anak yatim.

Inilah parameter yang digariskan untuk mereka yang bertanggungjawab mengurus harta anak yatim.

Dato’ Seri Dr. Hj. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri di hujung artikel Bayan Linnas Siri 72: Anak Yatim: Ihsanilah dan Bertaqwalah mencadangkan supaya janganlah mutawalli (orang yang bertanggungjawab mengurus harta anak yatim) itu mengambil harta mereka walau pun sedikit, melainkan untuk jika mutawalli itu miskin dan memerlukan dana bagi kos pengurusan harta anak yatim.

Wallahua’lam.

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.