≡ Menu

Bolehkah Simpan Wang?

Adakah amalan menyimpan wang lebihan di bank salah?

Adakah Islam membenarkan perbuatan menyimpan wang lebihan tersebut sebagaimana praktis dalam dunia kewangan semasa?

Adakah boleh kita menyimpan untuk masa depan?

Ada orang mendapat wang dan melaburkannya untuk menjana lebih pendapatan.

Ada yang menyimpan untuk kegunaan masa depan.

Apa yang diamalkan dalam dunia perbankan adalah orang ramai akan meletakkan wang mereka di bank sama ada untuk tujuan simpanan atau untuk pelaburan.

Bolehkah simpan wang?

Hukum Simpan Wang

Apabila kita teliti undang-undang Islam (Syariah), kita akan dapati bahawa Islam tidak melarang amalan menyimpan atau mengumpul kekayaan. Bahkan, Islam menggalakkan keseimbangan dalam urusan harta.

Dalam sebuah hadis, Anas r.a. meriwayatkan:

“Rasulullah (ﷺ) tidak akan menyimpan apa-apa untuk hari esok.”

(Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Umar r.a.:

Rasulullah pernah membeli kurma daripada Bani Nadhir dan menyimpannya untuk bekalan setahun buat keluarga.

(Riwayat al-Bukhari)

Hak Harta

Ibnu ‘Asyur menyebut dalam bukunya Maqasid al-Shariah al-Islamiyyah:

“Syariah Islam mengakui hak individu terhadap harta kekayaan dan membenarkan mereka untuk menggunakannya mengikut apa yang mereka mahu dalam hidup. Dengan berbuat demikian, syariat mahu menggalakkan orang ramai untuk berusaha mendapat dan menyimpan wang. Dengan cara ini juga, syariat berharap dapat mencapai tujuannya untuk meningkatkan kekayaan masyarakat dan menghapuskan apa-apa halangan kepada kemajuan. Oleh itu, tidak ada sesiapa yang mempunyai hak ke atas harta kekayaan orang lain, kecuali yang dinyatakan oleh Allah seperti zakat dan bahagian dalam harta rampasan.”

Syariat tidak menghalang kita daripada menyimpan sebahagian daripada wang atau hasil pendapatan. Buktinya adalah kewajipan mengeluarkan zakat dan kewajipan-kewajipan lain dalam agama. Kita diwajibkan mengeluarkan zakat atas simpanan telah mencapai had yang ditetapkan (nisab) dan kekal pada atau di atas paras itu untuk tempoh satu tahun penuh (haul).

Dalam erti kata lain, kita dibenarkan untuk menyimpan wang untuk diri dan keluarga kita selagi mana kita memenuhi hak-hak yang wajib ke atas kita, seperti membayar zakat, memberi nafkah ke atas tanggungan dan sebagainya.

Urus Harta Berpandukan Cara Nabi Yusuf

Sementara dalam kisah Nabi Yusuf, bagaimana Allah menunjukkan keperluan menyimpan untuk masa depan.

Allah berfirman:

“Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah Dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih). Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.

(Surah Yusuf: 47-49)

Di samping itu, wang yang hendak disimpan juga mesti diletak dalam bank-bank yang berurusan mengikut garis panduan syarak dan bukan bank-bank yang berurusan dengan riba. Jika kita menyimpan di bank-bank yang berurusan dengan riba, kita telah membantu mempromosikan riba, yang merupakan salah satu daripada tujuh dosa besar.

Kesimpulan

Islam tidak mempunyai halangan untuk kita menyimpan wang, bahkan menggalakkan orang ramai untuk memindahkan harta kekayaan dalam kalangan mereka seramai mungkin, tanpa menyebabkan berlaku kemudaratan kepada orang lain. Contoh seperti melabur, berniaga dan lain-lain.

Allah berfirman:

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”

(Surah al-Hashr: 7)

Mesej di atas jelas: harta kekayaan perlu berlegar dalam kalangan anggota masyarakat dan mencegah daripada berada di bawah kuasa satu pihak atau berlegar dalam kalangan orang tertentu sahaja.

Wallahua’lam.

0 comments… add one

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.