≡ Menu

Dinar & Wang Kertas

5 tahun lepas, saya menyumbang artikel untuk majalah. Artikel yang ditulis adalah seperti di bawah (dengan sedikit olahan).

Moga bermanfaat.

Antara Dinar dan Wang Kertas

Mak cik ada kemusykilan. Baru-baru ini ada dua orang datang jumpa mak cik dan dia suruh beli dinar. Menurut mereka, wang kertas ‘haram’ digunakan. – Persoalan Pertama

Mak cik sudah beli tetapi masalahnya apabila mak cik pergi beli barang di kedai, mereka tidak mahu terima. Bagaimana? – Persoalan Kedua

Saya pergi kepada Persoalan Kedua dahulu.

Persoalan Kedua: Apa Nak Buat dengan Dinar/Emas yang Sudah Dibeli?

Saya pernah mengajukan soalan ini kepada seorang individu yang aktif membeli dinar.

Ringkasnya kata beliau, kita boleh:

  1. Simpan untuk menjaga nilai wang;
  2. Gadai di tempat yang boleh, seperti di pejabat pos; atau
  3. Lakukan transaksi dengan pihak yang menerima dinar/emas

Untuk kes mak cik di atas, cara kedua dikira sesuai.

Persoalan Pertama: Hukum Dinar dan Wang Kertas

Wang kertas dan dinar (kepingan wang emas) merupakan antara perkara yang sering dibincangkan terutama sekali apabila berlaku krisis ekonomi. Krisis itu membuatkan manusia tercari-cari punca masalah dan jalan penyelesaian.

“Perbincangan mengenai wang kertas dan dinar Islam memang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak, lebih-lebih lagi mengingatkan bahawa krisis kewangan yang kita lalui beberapa tahun kebelakangan ini sebahagian besarnya disebabkan penyelewengan dalam sistem kewangan antarabangsa terutama berkaitan dengan perdagangan mata wang.”

Dr. Zainal Azam Abd. Rahman

Emas & Wang

Emas, ramai antara kita sudah sedia maklum ia ialah suatu logam berwarna kuning yang sangat berharga dan tinggi nilainya. Bagaimana pula dengan wang dan wang kertas?

Wang ialah apa-apa barangan yang lazimnya diterima umum berfungsi sebagai alat tukaran, penyimpan nilai dan pengukur nilai untuk suatu jangka masa tertentu. Bagi menjalankan semua fungsi ini, wang mesti sesuatu yang bernilai dan stabil.

Wang Kertas

“Mata wang yang diisytihar oleh kerajaan sebagai sah, walaupun pada hakikatnya ia tidak mempunyai nilai dan tidak disokong oleh rizab. Dari segi sejarah, kebanyakan mata wang adalah berdasarkan komoditi fizikal seperti emas atau perak, tetapi wang kertas adalah berdasarkan kepada kehendak, keyakinan dan kepercayaan orang ramai terhadap nilainya semata-mata.”

Investopedia

Jelas wang kertas yang ada sekarang tidak memiliki nilai pada asasnya, tetapi mendapat nilainya melalui arahan kerajaan supaya sah diperlakukan mengikut polisi dan sistem mata wang negara tertentu.

Hukum Dinar dan Wang Kertas

Apabila membincangkan mengenai hukum menggunakan wang kertas, perbincangan mengenainya telah melalui satu tempoh yang lama dan panjang. Secara umum, terdapat dua pendapat dalam perkara ini.

Pendapat pertama: penggunaan wang hanya terhad kepada emas dan perak sahaja.

Pendapat ini didokong oleh Abu Hanifah dan muridnya Abu Yusuf, Ibnu Nafi’ dari mazhab Maliki, al-Ghazzali, al-Nawawi, al-Suyuti dari mazhab Syafie, Taqiyuddin al-Nabhani, Muhammad Baqir al-Sadr, Hassan Ayyub dan lain-lain.

Pendapat kedua: penggunaan wang tidak terhad kepada emas dan perak.

Pendapat kedua ini dipegang oleh Muhammad bin Hassan al-Syaibani al-Hanafi, beberapa orang ulama fiqah dari mazhab Syafie, Ibnu Taimiyyah dan Ibnu Qayyim dari mazhab Hanbali, Majma’ Fiqh al-Islami serta ulama fiqah kontemporari termasuklah Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Mufti Muhammad Taqi Usmani, Syeikh Abdullah Sulaiman al-Mane’ dan lain-lain.

Saya cenderung kepada pendapat kedua.

“Wang kertas adalah mata wang yang diiktiraf kerana padanya ada nilai harga yang lengkap dan ia tertakluk kepada hukum syarak sebagaimana yang tertakluk kepada emas dan perak seperti riba, zakat, jual beli secara tempahan dan kesemua hukum yang berkaitan.”

Resolusi no. 21 (9/3), Ahli Jawatankuasa Persidangan Fiqah Islam Antarabangsa (Majma’ al-Fiqh al-Islami al-Duwali), persidangan ke-3, tahun 1986

Wallahua’lam.

1 comment… add one
  • Zaman ini matawang wang kertas diiktiraf untuk tujuan transaksi. Memandangkan emas dan perak tidak digunakan secara meluas berbanding zaman keagungan islam.

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.