Hukum Jual Mercun

SOALAN: Ustaz, apakah hukum menjual atau membeli mercun, khususnya dari sudut agama dan undang-undang.

Dari sudut perundangan, saya mendapati dua peruntukan berkaitan.

Pertama: Akta Bahan Letupan 1957, seksyen 4 (2) memperuntukkan undang-undang sesiapa yang bersalah mengilang, memiliki dan mengimport mercun atau bunga api, boleh dihukum penjara lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Kedua: Akta yang sama, seksyen 26 (i) memperuntukkan menteri boleh mengenakan tindakan perundangan kepada individu yang menjual mercun hukuman penjara satu tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Manakala dari sudut syariat Islam, hukum menjual mercun perlu dilihat dari sudut tujuan.

Hukum Jual Mercun Dari Sudut Syariat Islam

Jika membeli untuk tujuan yang dibenarkan seperti untuk tujuan keselamatan diri, maka hukumnya dibolehkan. Contoh kisah benar; saya mempunyai seorang sahabat. Ayah beliau seorang penoreh getah. Ayah beliau membeli mercun bagi tujuan keselamatan diri iaitu untuk menghalau dan menakut-nakutkan binatang buas daripada mendekati. Jika tidak membakar mercun, kemungkinan besar diri beliau berada dalam bahaya.

Sebaliknya jika menjual atau membeli bagi tujuan suka-suka untuk bermain, lebih-lebih di bulan Ramadhan atau Hari Raya, saya kira jelas perbuatan ini seharusnya dijauhi.

Islam melarang menjual benda yang boleh mendatangkan mudarat kepada diri dan orang lain. Islam juga menegah umatnya melanggar undang-undang negara.

Saban Ramadhan, kita mendengar atau membaca di dada akhbar kisah mereka yang tercedera kerana bermain mercun. Mereka mengundang mudarat kepada diri sendiri. Malah lebih dahsyat apabila mercun dimainkan berhampiran surau dan masjid tatkala ahli jemaah sedang menunaikan solat. Ini jelas mendatangkan mudarat kepada orang lain.

Mercun TIDAK sepatutnya dikaitkan dengan sambutan dengan bulan Ramadhan dan hari raya. Buang jauh-jauh. Hal ini kerana bulan Ramadhan seharusnya dipenuhi dengan ibadah, sementara hari raya pula perlu dipenuhi dengan syukur, iaitu dengan cara menzahirkan puji-pujian kepada Allah.

Artikel ini diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, no. 75.

Hadi Rofiee

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.