≡ Menu

Hukum Memancing di Kolam Berbayar

Petikan asal: https://www.facebook.com/muamalat.my

Soalan:

Bagaimana hukum menjalankan perniagaan memancing di kolam berbayar?

Jawapan:

Dalam hadis Nabi SAW daripada Ibn Mas’ud r.a katanya, Rasulullah SAW berkata: “Janganlah kamu jual ikan di dalam air, kerana ia adalah gharar.” [Direkodkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad, juga oleh Abu Nu’aym dalam Hulyah al-Awliya’]

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَشْتَرُوا السَّمَكَ فِي الْمَاءِ فَإِنَّهُ غَرَرٌ

Apa yang dimaksudkan dengan “gharar” ialah transaksi yang tidak jelas hasilnya. Jual ikan dalam air, belum tentu berapa ekor dapat. Kalau beli ikan di pasar borong RM20, jelas berapa ekor dapat. Tapi beli ikan yang ada dalam air, belum tentu dapat seekor. Itulah maksud gharar, suatu yang tak jelas hasilnya.

Namun begitu, dalam konteks perniagaan MEMANCING, caj yang dikenakan itu bukanlah untuk IKAN, tetapi untuk RUANG DAN MEMANCING, dan pengguna tahu dan sedar hal ini. Caj juga dikenakan berasaskan tempoh masa, bukannya berapa ekor ikan yang diperoleh. Oleh itu, larangan jualan ikan di air tidak termasuk dalam konteks perniagaan kolam memancing.

Sekali pun begitu, unsur gharar masih wujud juga dalam perniagaan ini, kerana bagi seorang kaki pancing, mereka bukan sahaja mahu membayar untuk memancing, tetapi jika boleh mereka tetap mahu ikan dan hasil pancing. Dengan kata lain, jika tidak dapat ikan, mereka tetap rasa kecewa. Namun ini tidak bererti mereka menyesal membayar harga caj kolam memancing dan mereka tidak berkira sangat tentang hal ini. Justeru, konteks gharar yang wujud dalam kes ini adalah gharar yang kecil. Dalam situasi lain, pengguna tidaklah berkira sangat jika dia dapat enam ekor, tapi kawannya dapat 10 ekor, walau pun cajnya sama, tapi jumlah ikan berbeza, pengguna umumnya tidak berkira. Ini menunjukkan gharar yang wujud adalah kecil. Pada tahap ini, ia masih diharuskan kerana pengguna tidak merasa tertipu.

Untuk mengelakkan berlaku gharar yang besar, penyedia kolam perlulah sediakan jumlah ikan yang cukup. Jika 20 orang memancing 5 jam, dan 20 orang itu tak dapat satu ekor pun ikan, mungkin ada yang tak kena dengan ikan-ikan dalam kolam itu, atau ikannya cuma ada 2-3 ekor sahaja. Jika majority pengguna rasa tertipu, maka dianggap wujudkan gharar yang dilarang oleh Nabi SAW dalam hadis di atas.

Seperti yang diterangkan, gharar ialah sesuatu transaksi yang tidak begitu jelas hasilnya. Kadarnya berbeza mengikut keadaan. Anda bayar 50 sen masuk tandas selama 5 minit, tapi anda tidak hirau pun orang lain masuk tandas 1 jam dengan bayaran yang sama. Ini dinamakan gharar yang sedikit, yang diterima umum walaupun ia tidak jelas. Justeru, gharar tertakluk kepada pandangan umum masyarakat, atau ‘common sense’ , sama ada mereka boleh terima atau tidak.

Kesimpulannya, perniagaan kolam memancing adalah harus, kerana caj yang dikenakan bukanlah kerana ikan, tetapi kerana ruang dan kemudahan yang disediakan. Namun penyedia perlulah sediakan ruang pancing yang munasabah pada anggapan pengunjung.

.والله أعلم بالصواب

{ 6 comments… add one }
  • Inche Naim November 12, 2016, 11:47 pm

    As Salam,
    Bagaimana pula dengan kolam memancing dengan konsep tangkap & lepas tuan?

    Sebagai kaki pancing tegar, saya sangat nak tahu mengenai perkara ini.

    • Hadi Rofiee December 30, 2016, 10:50 am

      Wassalam. Jika caj yg dikenakan hanya utk ruang & aktiviti memancing adalah setimpal (dgn kata lain tidak wujud unsur penipuan yang melampau), maka sepatutnya tiada masalah.
      Wallahua’alam.

  • nurjejari September 29, 2017, 11:41 am

    Hukum makan hasil ikan pancing kolam berbayar,adakah bole dimakan…

    • Hadi Rofiee October 2, 2017, 7:35 pm

      Jika caj dikenakan selari seperti yang diterangkan dalam artikel ini, maka tak menjadi masalah untuk makan hasil tangkapan.
      Wallahua’lam.

  • febli malina ramli November 11, 2017, 3:44 pm

    Saya pun sama tuan.. Sy suke memancing jgk.. Tpi memancing udang harimau.. Kadang2 dpat banyak kadang2 dpat sikit.. Tpi walaupun dpat sedikit.. Tpi sy rse puas hati sebab dpat memancing.. Sy terpaksa ke kolam memancing disebabkan tiada kawasan sungai atau lombong yg sesuai utk sy memancing..hanya di kolam memancing je sy dapat menjalankan hobi sy..apakah hukumnya ye tuan.. Adakah jatuh hukum haram sbb jdi judi..

    • Hadi Rofiee November 12, 2017, 9:34 am

      Ia berbalik kepada isi dalam artikel ini. Kena lihat bagaimana cara kolam memancing itu menjalankan perniagaan.
      Wallahua’lam.

Leave a Comment