≡ Menu

Inilah Bentuk ‘Time Value of Money’ yang Diiktiraf

Ahmad hendak beli kereta, contohnya harga RM40k. Ahmad tidak mempunyai tunai RM40k.

Jadi apa yang Ahmad buat, dia minta abang dia belikan, menggunakan duit dia. Kemudian abang Ahmad jual kepada Ahmad dengan harga RM50k. Ahmad bayar secara ansuran contohnya sebulan RM1k sehingga selesai.

Adakah konsep jual beli seperti ini dalam Islam (fiqah muamalat)?

Jawapannya ada.

Murabahah dan Bai’ Bithaman Ajil

Transaksi #1:

Abang Ahmad jual kepada Ahmad dengan harga RM50k. Ini dinamakan murabahah, iaitu jual dengan untung.

Abang Ahmad membeli kereta itu dengan harga RM40k, dan menjual kepada Ahmad dengan harga RM50k. Untung RM10k.

Transaksi #2:

Ahmad bayar secara ansuran contohnya sebulan RM1k sehingga selesai.

Ini dinamakan bai’ bithaman ajil, maksudnya jual beli secara bertangguh atau ansurans. Dapat barang dahulu, harga dibayar kemudian secara berkala.

RM1k sebulan sehingga selesai, iaitu 50 bulan untuk selesai membayar jumlah RM50k.

Nilai Masa dalam Jual Beli Bertangguh

Bagaimana jika bayaran secara tunai, harganya RM40k. Namun apabila secara tangguh, harganya menjadi RM50k. Adakah halal?

Para ulama berbeza pendapat:

  1. Minoriti – haram
  2. Majoriti termasuk empat mazhab dan ulama kontemporari – harus.

“Harga berkemungkinan dinaikkan disebabkan penangguhan (bayarannya).”

Ulama mazhab Hanafi

“Penangguhan untuk tempoh masa mempunyai kadar nilai dalam harga.”


Ulama mazhab Maliki

“Lima jika dibayar secara tunai, bersamaan dengan enam jika dibayar secara tangguh.”


Ulama mazhab Syafi’i

“Tempoh boleh mengambil sebahagian daripada harga.”


Ulama mazhab Hanbali

Mana Dalil?

Ambil hadis tentang harus jual beli al-salam (akad tempahan, harga dibayar di awal kontrak).

Nabi SAW sampai di Madinah. Penduduk Madinah membeli (menempah) tangguh tamar yang hanya akan diserahkan dalam tempoh dua atau tiga tahun. Lalu Nabi bersabda: “sesiapa yang ingin membeli secara tangguh (jual beli al-salam), hendaklah ia dilakukan atas barang yang diketahui, timbangan yang diketahui dan tempoh yang diketahui.”

Hadis riwayat al-Bukhari

Jika kita amati hadis di atas, elemen tempoh mempunyai kesan dalam akad, dengan syarat ia mesti dipersetujui bersama.

“Inilah (iaitu hadis di atas) dalil bahawa tempoh waktu dalam jual beli mempunyai bahagian dalam harga, ia tidak mengapa kerana ia didasari oleh akad jual beli.”

Ibn Qudamah

Kesimpulan – Bentuk ‘Time Value of Money’ yang Diiktiraf

Dr. Zaharuddin Abd. Rahman dalam Panduan Perbankan Islam: Kontrak & Produk Asas merumuskan:

“Kesimpulannya, disebabkan tempoh masa yang perlu ditunggu oleh pihak penjual dan risiko yang terdedah ke atasnya, perbezaan harga ini dianggap sebagai halal dengan syarat ia telah dipersetujui pada awal akad dan tidak lagi berubah selepas itu. Kenaikan harga akibat tempoh ini dianggap halal oleh majoriti mazhab dan ulama. Inilah bentuk time value of money yang diiktiraf sebagai halal oleh Islam kerana ia didasari oleh jual beli sebenar dan bukannya akad qardh iaitu pinjaman atau hutang.”

Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, Panduan Perbankan Islam: Kontrak & Produk Asas

Wallahua’lam.

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.