Isu Viral Marketing dan Paid Review

Alhamdulillah, pada 31 Oktober 2018, saya berpeluang menghadiri Muzakarah Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan di Malaysia kali ke-14.

Banyak yang dibincangkan, antaranya:

  1. Value Based Intermediation (VBI). Mudah faham, ia adalah usaha untuk berbuat baik kepada People, Planet & Profit. Lagi senang, ingat maqasid Syariah.
  2. Dropship. Banyak isu dan case study. Kes pertama; pernah terjadi, pelanggan pesan telefon bimbit, dapat lesung batu! Begitu juga dengan isu ‘PM Tepi’ harga. Saya pernah kongsi di sini maklumat perniagaan yang mesti dipaparkan oleh peniaga online. Saya juga telah menulis mengenai isu ‘PM Tepi’ ini di majalah al-Ustaz no. 67. Ringkasnya, undang-undang tidak membenarkan demi kepentingan awam (maslahah).
  3. Viral marketing & paid review, bolehkah dari sudut Syariah? Boleh, namun ada syarat-syaratnya.

Fokus artikel ini adalah pada isu viral marketing dan paid review. Isu ini dibentang oleh Dr. Ahmad Sufian Bin Che Abdullah dalam kajian beliau bertajuk: Isu Viral Marketing dan Paid Review dalam Pemasaran Internet: Analisis Syariah.

Apakah Isu Viral Marketing dan Paid Review?

Viral marketing dan paid review adalah bentuk pemasaran ‘word of mouth’ (WOM) yang baru. WOM ini adalah promosi mulut ke mulut.

Viral Marketing

Viral marketing boleh berlaku dengan menularkan produk perniagaan sama ada dirancang atau tidak.

Tidak dirancang berlaku seperti disebarkan oleh para pengguna kerana kualiti atau harga yang berpatutan.

Dirancang pula seperti menggunakan kaedah:

  • insentif rujukan (referral) – dapat insentif apabila memperkenalkan rakan kepada perniagaan
  • tribe – mempergunakan agen-agen yang merupakan rakan dalam perniagaan yang sama bagi mempromosi produk. Contoh lain seperti PM palsu dengan tujuan untuk menarik perhatian pengguna lain
  • bot – aplikasi yang menambah like atau komen yang dilakukan secara tidak sah dengan menggunakan akaun palsu

Paid Review

Manakala paid review pula adalah kaedah membayar seseorang untuk membuat testimoni terhadap produk mahupun perkhidmatan.

Isu timbul apabila pengulas tidak mendedahkan mereka dibayar. Ulasan yang dilakukan pula hanya menyentuh aspek positif sahaja atau memberi komen negatif terhadap produk orang lain.

Hukum Isu Viral Marketing dan Paid Review

PM Palsu

Jika niat utama hanya sekadar untuk menggambarkan bahawa sesuatu produk mendapat sambutan hangat, sedangkan apa yang berlaku hanyalah PM secara pakatan sesama sendiri, maka hal ini ditegah.

Bot Palsu

Sudah tentu bercanggah dengan Syariat kerana wujud unsur penipuan.

Ulasan Berbayar – Tidak Dinyatakan Dibayar

Amalan yang tidak beretika kerana bimbang pembaca percaya bahawa ulasan itu adalah ‘genuine’.

Ulasan Berbayar – Merendahkan-Rendahkan Produk Lain

Ulasan atau testimoni yang mengandungi unsur merendahkan-rendahkan produk lain adalah ditegah

Isu Viral Marketing dan Paid Review dalam Fiqah Muamalat

Syariat menegah al-tanajusy berdasarkan hadis Nabi:

“Abu Hurairah berkata bawah Rasulullah melarang jualan antara orang bandar dengan orang kampung, janganlah juga kamu melakukan tanajusy, janganlah seseorang itu melakukan jualan terhadap apa yang telah dijual kepada saudaranya, dan janganlah seseorang itu meminang atas pinangan saudaranya…” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Apa maksud al-tanajusy?

Imam al-Syafie menjelaskan:

“Seseorang menghadiri sesi jualan barangan, yang mana dia tidak berniat untuk membeli kemudian dia membuat tawaran lebih mahal daripada orang lain dengan harapan orang lain akan membuat tawaran lebih tinggi.”

Ibn ‘Arabi pula menyatakan:

“Seseorang sengaja menawarkan harga belian yang tinggi, tetapi tidak berniat untuk membelinya.”

Kamil Sakr al-Qaisiy, seorang pengkaji semasa menjelaskan:

“Seseorang itu dikira melakukan tanajusy jika mencela dan merendah-rendahkan kualiti barang orang lain, mahupun terlalu memuji-muji sesuatu barang itu baik kualitinya sedangkan hal sebenarnya tidak.”

Parameter dalam Isu Viral Marketing dan Paid Review

  1. Proses viral berlaku secara semulajadi dan beretika. Fokus diberikan kepada peningkatan kualiti atau mengurangkan kos produk dan perkhidmatan.
  2. Tidak menggunakan isu-isu sensitif, negatif atau kontroversi dalam menularkan sesuatu perniagaan.
  3. Jika perlu guna bot, pastikan ia tidak menyalahi peraturan media sosial.
  4. Penggunaan tribe perniagaan bukan bertujuan untuk memberi gambaran palsu kepada pelanggan.
  5. Jika dibayar untuk memberi ulasan, ulasan mesti jujur dan dijelaskan dengan cara yang mudah difahami dalam dunia perniagaan online. Boleh juga letak hashtag seperti #sponsored atau #ulasanberbayar.
  6. Testimoni tidak keterlaluan memuji.
  7. Ulasan yang dibuat tidak melampaui bidang kepakaran supaya tidak berlaku misleading kepada masyarakat.

Wallahua’lam.

Hadi Rofiee

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.