Jihad Bisnes – Ustaz Ahmad Termizi Agrobank

Jihad BisnesAlhamdulillah, pada 4 Disember 2013 yang lalu, penulis berkesempatan mengikuti latihan (training) takaful di pejabat Intelligence and Financial Quotient (INFAQ) Consultancy and Advisory di Gombak.

Sesi latihan itu berkongsi mengenai Jihad Bisnes, disampaikan oleh Ustaz Ahmad Termizi.

Sedikit maklumat mengenai beliau:

Beliau pernah bertugas di bahagian Syariah Takaful Ikhlas Sdn Bhd selama hampir 7 tahun.

Sekarang, beliau bertugas di bahagian Syariah, Agrobank.

Seorang kenalan rapat memberitahu bahawa dia pernah mengajukan soalan kepada beliau mengenai tindakannya yang berpindah dari takaful ke bank.

Jawab beliau: kerana ingin mencari pengetahuan dan pengalaman baru dalam bidang kewangan Islam khususnya perbankan Islam.

Maksud Jihad?

Apakah maksud ‘jihad’?

Ustaz Ahmad Termizi memilih pengertian jihad yang dikemukakan oleh Ibnu Taimiyyah dalam bukunya bertajuk Majmu’ Fatawa (مجموع فتاوى).

Ibnu Taimiyyah menjelaskan maksud jihad seperti berikut:

“Hakikatnya, jihad ialah bersungguh-sungguh melakukan apa yang Allah suka iaitu segala perkara yang mempunyai kaitan dengan iman dan amal soleh serta meninggalkan apa yang Allah tidak suka iaitu segala perkara yang mempunyai kaitan dengan kafir, fasiq dan maksiat”.

Penjelasan jihad oleh Ibnu Taimiyyah seperti di atas dapat dibahagikan kepada tiga bahagian. Setiap bahagian mewakili satu warna iaitu biru, hijau dan merah.

Bisnes Satu Cabang Jihad

Apakah maksud jihad? Jihad ialah bersungguh-sungguh.

Bersungguh-sungguh dalam perkara apa? Bersungguh-sungguh melakukan apa yang Allah suka.

Adakah setakat itu sahaja? Tidak. Di samping bersungguh-sungguh melakukan apa yang Allah suka, jihad juga bermaksud bersungguh-sungguh meninggalkan apa yang Allah tidak suka.

Itulah maksud JIHAD menurut Ibnu Taimiyyah.

Jihad Bisnes

Dengan menggunakan maksud jihad seperti di atas, maka ungkapan Jihad Bisnes dapat dijelaskan sebagai:

“Menjalankan perniagaan dengan bersungguh-sungguh dan amanah. Dengan kata lain, berniaga dengan cara yang halal (patuh Syariah), bukan dengan cara yang haram (tidak patuh Syariah).”

Allah memudahkan urusan semua. Amin.

Gambar: lifewords.org & lerablog.org.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *