≡ Menu

Mana Hibah Saya?

Apabila kita menyimpan duit di bank, ada bank yang akan memberi sedikit hibah mengikut budi bicara bank. Bank juga boleh memilih untuk tidak memberi apa-apa hibah.

Adakah bank zalim?

Tidak.

Apabila kita ‘menyimpan’ duit di bank, kontrak syariah yang termeterai adalah hutang (qardh). Prinsip utama dalam kontrak qardh adalah tidak boleh membayar hutang melebihi jumlah hutang. Lebihan itu adalah riba yang diharamkan.

Ada juga institusi kewangan yang memakai kontrak wadiah yad dhamanah. Ciri-ciri kontrak ini adalah:

  1. Pendeposit akan mendeposit wang sebagai simpanan
  2. Keselamatan wang yang disimpan dijamin
  3. Pendeposit boleh mengeluarkan wang pada bila-bila masa.
  4. Pendeposit mungkin dikenakan caj menjaga wang atau diberikan hibah jika perlu
  5. Pendeposit tidak berhak kepada apa-apa keuntungan

Antara institusi yang memakai kontrak wadiah yad dhamanah adalah Lembaga Tabung Haji.

Mengapa Ada Institusi Yang Memberikan Hibah Setiap Tahun?

Mungkin kerana ‘systemic risk’.

“An event that can trigger a collapse in a certain industry or economy.”

Investopedia

Maksudnya begini, jika institusi itu tidak memberikan hibah, ia boleh membuat keyakinan pendeposit hilang. Kesannya mereka akan mengeluarkan atau tidak mahu meletakkan wang mereka di institusi berkenaan. Ini boleh mengakibatkan kedudukan institusi berkenaan terjejas.

Pendeposit juga perlu dididik bahawa pemberian hibah dalam akaun simpanan bukan suatu yang mesti.

Ini berbeza jika kita ‘melabur’ di bank. Kontrak yang termeterai adalah kontrak pelaburan. Kita dan bank akan berkongsi keuntungan mengikut persetujuan bersama.

Jika kita melabur dalam unit amanah, kita melantik syarikat unit amanah mengurus (melabur) duit kita. Mereka akan mengenakan fi atas khidmat professional. Untung akan diberi melalui pengumuman dividen.

Selepas ini, jika heboh hibah akan diberi atau tidak, banyak atau sedikit, komen kita akan lebih objektif. Biar fakta, jangan auta. 🙂

0 comments… add one

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.