Zakat dalam bulan Ramadan

Zakat adalah satu cara untuk seseorang ‘membersihkan’ hartanya.

Allah berfirman dalam surah At-Tawbah, ayat 103 yang bermaksud:

“Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk);”

Dalam bulan Ramadan, kita biasa mendengar zakat fitrah yang wajib dibayar. Alhamdulillah, ramai antara kita yang cakna akan zakat fitrah ini.

Selain itu, zakat lain yang wajib dibayar juga adalah zakat simpanan, zakat emas, zakat pertanian, zakat pendapatan dan lain-lain.

Ada antara kita yang menjadikan bulan Ramadan peluang untuk membayar zakat-zakat ini. Ya, amal ibadah yang dilakukan dalam bulan Ramadan mendapat pahala yang tidak sama berbanding jika ditunaikan dalam bulan-bulan yang lain.

Namun begitu, apabila syarat menunaikan zakat-zakat ini seperti cukup nisab dan cukup haul telah ada, maka ia wajib dibayar.

Maksudnya, jika syarat membayar zakat sudah cukup walaupun bukan dalam bulan Ramadan, kita sebagai seorang Muslim mesti melaksanakannya. Tidak semestinya perlu menunggu atau bertangguh sehingga masuk bulan Ramadan.

Kesimpulannya, zakat yang diwajibkan dalam bulan Ramadan hanyalah zakat fitrah. Sedangkan zakat-zakat lain seperti zakat simpanan, pendapatan dan lain-lain juga wajib, namun masa mengeluarkannya tidak mempunyai kaitan yang khusus dengan bulan Ramadan.

Wallahua’alam.