Memulakan Perniagaan Bersama Rakan ‘Belum Muslim’

SOALAN: Saya mahu memulakan perniagaan bersama rakan belum Muslim. Perniagaan ini melibatkan dagangan bahan kimia. Kedua-dua kami akan melabur jumlah modal yang sama. Soalan saya adakah halal untuk saya menjalankan perniagaan bersama orang belum Islam?

Dalam situasi ini, boleh bekerjasama dengan orang belum Islam dalam urusan perniagaan sahaja. Setiap peraturan yang dibenarkan dalam ajaran agama mereka boleh terus diaplikasikan selagi mana tidak menyalahi dasar utama sistem perundangan negara. Namun wujud larangan khusus terhadap pengamalan transaksi berteraskan riba kerana perbuatan itu menzalimi masyarakat yang kurang berkemampuan.

Oleh kerana itu ada ulama menyebut, jika kerjasama antara Muslim dan belum Muslim membawa kepada melakukan apa yang Allah larang dan meninggalkan apa yang Allah suruh, maka kerjasama itu adalah dilarang.

Sebahagian ulama berpendapat boleh bekerjasama dengan belum Muslim dalam urusan perniagaan, dengan syarat orang Muslim itu adalah orang yang bertanggungjawab (in-charge) menguruskan perniagaan. Jadi beliau akan menguruskan perniagaan dengan baik, menjaga agama, maruah dan harta.

Ringkasnya apabila berkolaborasi dengan rakan belum Muslim dalam perniagaan, patuhi garis panduan agama Islam dan undang-undang berkaitan. Perniagaan mesti halal. Pembahagian untung dan rugi wajar dibuat dengan jelas. Letakkan kawalan untuk memastikan aktiviti perniagaan tidak terlibat dengan riba, perjudian atau spekulasi. Adalah satu amalan yang baik (Shariah governance) apabila mempunyai jaringan dengan penasihat Syariah yang boleh dirujuk apabila perlu.

Cekap dan Amanah

Dalam keadaan persekitaran sekarang dan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia, kita memerlukan Muslim yang cekap dan amanah. Supaya mereka boleh menaikkan martabat agama dan umat.

Ciri cekap dan amanah difahami dalam ayat Al-Quran, Allah berfirman:

“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah” (Surah Al-Qosas 28:26).

Ayat Al-Quran ini mengisahkan tentang Nabi Musa yang menolong dua orang perempuan mendapatkan air dari perigi. Akhirnya, ayah (Nabi Syu’aib) kepada dua orang perempuan tersebut mengambil baginda bekerja.

Wallahua’lam.

Gambar: rocketlawyer [dot] com

Hadi Rofiee

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *