Nampak Sama, Tetapi Tidak Serupa

Nampak Sama, Tetapi Tidak SerupaPerbankan Islam dan konvensional nampak seperti sama sahaja.

Orang yang memohon pembiayaan peribadi di perbankan Islam mendapat duit.

Orang yang memohon pinjaman peribadi di perbankan konvensional pun mendapat duit.

Mereka berdua mendapat duit, bahkan turut sama berhutang. Jadi, di manakah bezanya?

Pi mai pi mai, tang tu juga!

NAMPAK SAMA, TETAPI TIDAK SERUPA

Hmm.. perkahwinan dan perzinaan juga nampak seperti sama sahaja. Tidak ada apa-apa perbezaan pun.

Kahwin – ada rezeki – dapat anak. (HALAL)

Zina – terlanjur – dapat anak. (HARAM)

Sama sahaja. Kedua-duanya menghasilkan anak.

Mengapakah perkahwinan hukumnya halal, sedangkan perzinaan pula hukumnya haram? Apakah perbezaan antara kedua-duanya?

KONTRAK

Perkara utama yang membezakan antara perkahwinan dan perzinaan ialah kontrak.

Begitu juga dengan perbankan Islam dan konvensional di mana yang membezakan antara keduanya ialah kontrak.

Ambil contoh pinjaman peribadi seperti di atas. Apabila nama suatu transaksi ialah pinjaman, maka sudah tentu kontrak yang digunakan ialah kontrak pinjaman. Semestinya!

Jika pinjam RM10,000, maka jumlah yang perlu dibayar kembali ialah RM10,000 juga. Tiada sebarang isu di sini.

Isu hanya timbul apabila berlaku lebihan dalam pembayaran seperti meminjam RM10,000, tetapi dikehendaki membayar sebanyak RM12,000. Lebihan bayaran ini menyebabkan kontrak pinjaman yang pada asalnya baik menjadi tidak baik kerana terjerumus ke dalam lembah RIBA. Transaksi seperti ini biasa diguna pakai oleh perbankan konvensional.

Islamic banking contract

Sementara perbankan Islam pula tidak menamakan transaksi di atas dengan nama pinjaman, sebaliknya menggantikan dengan nama ‘pembiayaan’.

Mengapakah perbankan Islam mengguna pakai nama pembiayaan?

Jawapan: perbankan Islam tidak mengamalkan kontrak pinjaman, sebaliknya hanya memberikan pembiayaan melalui beberapa konsep Syariah.

“Antara contoh aplikasi semasa adalah akad tawarruq untuk produk pembiyaan peribadi. Bank dan pelanggan menjalankan jual beli komoditi, misalnya besi, yang tidak diperlukan atau dimaksudkan oleh pihak-pihak yang berkontrak. Ianya adalah helah untuk memberi wang tunai kepada pelanggan dan mensabitkan hutang ke atasnya.” – Sumber: Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA), Parameter Hiyal dalam Kewangan Islam, muka surat 14.

Kesimpulannya, helah yang dipraktikkan oleh perbankan Islam ialah helah yang dibenarkan di sisi syarak dengan menjaga segala batas dan sempadan.

Penulis akan berusaha sedaya upaya untuk berkongsi mengenai helah tersebut dalam artikel yang lain. Insya-Allah.

Kredit gambar: muuto.com & google image.

One Reply to “Nampak Sama, Tetapi Tidak Serupa”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *