SOALAN: Ada satu iklan menjual pakaian raya secara hutang. Kempennya lebih kurang berbunyi mengajak orang ramai untuk kelihatan sedondon. Boleh pakai dahulu, bayar kemudian. Apa pendapat Ustaz?

Hasil kajian, saya dapati ia adalah pembayaran secara ansuran atau jualan dengan harga bertangguh. Dalam fiqah muamalat, ia dikenali dengan al-Bay’ bi-Thaman ‘Ajil atau Bay’ al-Taqsit.

Maksudnya; menjual sesuatu dengan disegerakan penyerahan barangan yang dijual kepada pembeli dan ditangguhkan bayaran harganya sehingga ke suatu masa yang ditetapkan, sama ada secara sekaligus atau secara bulanan atau tahunan atau mengikut tempoh masa tertentu. Inilah yang dimaksudkan dengan pakai dahulu dan bayar kemudian.

Hukum Pakai Dahulu Bayar Kemudian

Jual beli ini harus dan dibenarkan dengan syarat, harga jualan, bayaran bulanan dan tempoh bayaran dipersetujui di awal kontrak, antara penjual dan pembeli.

Hal ini bersandarkan dalil umum al-Quran yang mengharuskan jual beli seperti dalam surah al-Baqarah, ayat 275:

“Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Ayat 282 dari surah al-Baqarah pula menggesa supaya menulis urus niaga hutang:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu.”

Dalam hadis, Saidatina Aisyah mengatakan bahawa:

Rasulullah telah membeli makanan daripada orang Yahudi secara bertangguh dan Baginda menggadaikan baju besi Baginda kepadanya. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Syarat Pakai Dahulu Bayar Kemudian

Namun transaksi dalam kategori ini mempunyai satu syarat penting. Apabila pelanggan terlambat bayar, penjual TIDAK boleh sama sekali mengenakan sebarang bayaran faedah. Jika tidak, ia akan menjerumus kepada transaksi riba. Pelanggan pula mestilah memastikan dia mampu membayar pada masa yang ditetapkan. Ini membawa kepada persoalan yang berikutnya iaitu pengurusan kewangan.

Mengurus Kewangan Pakai Dahulu Bayar Kemudian

Saya kira penting untuk dinyatakan bahawa untuk menyambut Hari Raya, tidak perlu bermewah-mewah. Benar, antara adab menyambut Hari Raya adalah berpakaian baru atau cantik. Namun bukan sehingga membazir atau berbelanja melebihi pendapatan.

Hayati firman Allah dalam surah al-Furqan, ayat 67:

“Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”

Pendapat hukum ini tidak termasuk emas & perak kerana hukum untuk kedua-duanya memerlukan penjelasan lain.

Wallahua’lam.

Artikel ini diterbitkan dalam Majalah al-Ustaz, no. 75.

Gambar: timeout [dot] com