Penjara Perbankan dan Kewangan Islam

(Artikel ini sambungan daripada artikel sebelum. Sila rujuk Tiada Rotan, Akar Pun Berguna)

Neraca Kewangan Islam“Apa pendapat Dr. mengenai industri perbankan dan kewangan Islam masa kini?”

“Adakah ia sudah Islamik sepenuhnya atau belum? Jika dilihat, banyak helah yang digunakan oleh industri perbankan dan kewangan Islam bagi menghalalkan sesuatu produk.”

Saya mengulangi tema soalan yang sama sepertimana yang saya ajukan kepada Dr. Ridzuan sebentar tadi

Selesai menurunkan cop dan tandatangan, Dr. Noor menjawab:

HELAH & MASLAHAH DALAM KEWANGAN ISLAM

“Hmm…ya. Banyak helah yang digunakan oleh institusi perbankan dan kewangan Islam bagi menghalalkan produk yang mereka keluarkan.”

“Kita akui, helah ini terpaksa dilakukan kerana kita masih belum merdeka sepenuhnya. Maksudnya kita masih belum bebas menjalankan perbankan dan kewangan secara Islam sepenuhnya.”

“Dalam negara, kita terpaksa mengikut akta yang telah ditetapkan. Dalam industri pula, kita terpaksa mengikut rentak permainan oleh bank-bank lain. Apatah lagi kehendak masyarakat yang pelbagai.”

“Kita seperti masih terpenjara.”

“Oleh kerana itu, susah hendak katakan industri perbankan dan kewangan Islam sekarang sudah menjadi Islamik sepenuhnya. Bahkan bank yang sepenuhnya Islam (full-fledged Islamic banks) pun belum mencapai tahap yang memuaskan .”

“Cuma apa yang berlaku dapat disimpulkan sebagai merai keperluan tuntutan maslahah. Maksudnya, terpaksa mengikut keadaan yang mendesak.”

PERSOALAN?

Kajian Kewangan Islam“Namun begitu, persoalannya sekarang ialah sudah lebih 20 tahun industri perbankan Islam bertapak di negara kita. Sampai bilakah kita hendak mengikut? Bilakah masanya kita hendak merdeka sepenuhnya?”

“Persoalan ini menarik untuk dibuat kajian lanjut.”

Dr. Noor menjawab dengan penuh semangat. Saya mendengar dengan penuh perhatian.

Ayat terakhir beliau menarik perhatian. Saya sedang memikirkan kebarangkalian untuk mengembangkan persoalan itu bagi tujuan penulisan jurnal atau tesis peringkat Ph.D. Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan.

SAYA TIDAK TAHU

Saya cuba menyambung perbualan.

“Bagaimana pula dengan bank Islam luar pula Dr., contohnya Bank Al Rajhi. Saya dapat tahu, bank itu tegas mempraktikkan kewangan Islam. Adakah sudah Islamik sepenuhnya?”

“Ohh..yang itu, saya tidak tahu”. Ringkas jawapan Dr.

Tabiat orang yang berilmu apabila tidak tahu, dia akan menjawab tidak tahu. Begitu amanahnya mereka kepada ilmu. Bimbang tersilap menyampaikan maklumat yang salah.

JIHAD KEWANGAN ISLAM

Selepas puas mendapat penjelasan daripada Dr., saya meminta diri untuk pulang. Hendak ke blok lain pula untuk urusan lanjut penyerahan tesis.

“Terima kasih Dr., doakan mudah-mudahan saya berjaya.”

“Ya, insya-Allah.”

Saya keluar daripada pejabat beliau sambil fikiran melayang ke arah satu kenyataan: hakikatnya jihad dalam kewangan Islam baru sahaja dilancarkan.

Adakah kita sanggup? Adakah kita bersedia?

Kredit gambar: ulamadaily.blogspot.com & emeldahanimunittrust.com.

3 comments… add one

Leave a Comment