Peringkat Ketiga Pengharaman Riba

Riba is ProhibitedSelepas peringkat pertama dan kedua, pengharaman riba melalui peringkat yang ketiga.

Pada peringkat pertama, ayat mengenai larangan riba menggunakan pendekatan emosi.

Peringkat kedua pula, ayat berkaitan riba belum menyebut larangan riba secara jelas, hanya memberi sangkaan akan munculnya larangan riba.

Peringkat Ketiga Pengharaman Riba

Pada peringkat ketiga, Allah s.w.t. mula menyebut secara jelas larangan memakan riba.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah Ali ‘Imran, ayat 130:

Ayat Haram Riba

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya.”

Menurut tafsir Ibnu Kathir, dalam ayat al-Quran di atas, Allah s.w.t. melarang orang-orang yang beriman mengambil dan memakan riba dengan berlipat kali ganda. Perbuatan sedemikian merupakan amalan pada zaman jahiliyyah.

Pada zaman jahiliyyah, apabila tiba waktu mengutip hutang, ada dua pilihan iaitu sama ada dijelaskan hutang itu atau ditambahkan jumlahnya. Apabila hutang dijelaskan, maka selesai. Apabila tidak, maka tempoh pembayaran balik hutang itu akan dilewatkan dan jumlahnya ditambah.

Amalan di atas berlaku setiap tahun. Sehinggakan hutang yang pada asalnya sedikit bertambah menjadi banyak dan berganda-ganda. Jelas ini merupakan satu bentuk kezaliman.

Selanjutnya di akhir ayat Allah menyuruh orang-orang yang beriman supaya bertakwa kepada Dia demi kejayaan di dunia dan akhirat.

Bertakwa kepada Allah bermaksud: takut akan Allah, mematuhi segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. – al-Mu’jam al-Wasit

Riba dan Realiti Kewangan Semasa

Melihat kepada realiti kewangan semasa, satu daripada bentuk riba seperti dalam ayat di atas ialah compound interest.

Apakah maksud compound interest?

Compound interest ialah:

faedah yang dikira bukan sahaja terhadap jumlah awal atau pokok, tetapi juga faedah yang terkumpul untuk tempoh sebelumnya. ‘Compound interest’ berbeza daripada ‘simple interest’ di mana ‘simple interest’ dikira berasaskan kepada jumlah pokok sahaja. – investorwords.com

Debt

Ambil contoh mudah.

A meminjam wang daripada B sebanyak RM1000 selama 1 tahun dengan faedah sebanyak 5%. Dengan kata lain A dikehendaki membayar kepada B sebanyak RM1050.

5% x RM1000 = RM 50

RM 1000 + RM 50 = RM1050.

Faedah yang dikenakan pada peringkat ini disebut sebagai ‘single interest’ dan ia jelas merupakan satu bentuk riba.

Kemudian, jika A gagal membayar hutangnya pada waktu yang ditetapkan, A akan dikenakan lagi faedah 5%. Pada kali ini, caj faedah tidak dikenakan kepada jumlah asal pinjaman, sebaliknya kepada jumlah pinjaman asal + faedah sebelumnya.

Dengan kata lain, caj faedah 5% dikenakan kepada jumlah RM1050 dan bukannya RM1000.

Maka A perlu membayar hutang + faedah sebanyak RM1102.50.

5% x RM1050 = RM52.50.

RM1050 + RM52.50 = RM1102.50.

Faedah yang dikenakan pada peringkat ini disebut sebagai ‘compound interest’ dan ia juga jelas merupakan satu bentuk riba.

Wallahu’alam.

Foto: thomaswhite.com & productivemuslim.com

1 comment… add one

Leave a Comment