Riba Membantu, Kemudian Membunuh

Loan and Interest“Sulaiman, saya ingin memohon sedikit bantuan” kata Ibrahim.

“Bantuan apa?”

“Saya mahu meminjam wang sebanyak RM3000 untuk membeli sebuah motosikal. Saya akan membayar kembali sebanyak RM3600 secara ansurans sebanyak RM300 selama 12 bulan.”

Sulaiman mula mencongak. RM3600 – RM3000 = RM600.

“Eh…ada lebihan sebanyak RM600! Tidak boleh Ibrahim, transaksi ini betul-betul riba!”

“Betulkah?”

PINJAMAN + FAEDAH = RIBA

“Ya. Setiap pinjaman yang ada faedah ialah riba.”

Riak wajah Ibrahim kelihatan terkejut dan susah hati.

Melihat rakannya seperti dalam kesusahan, Sulaiman menawarkan satu jalan penyelesaian.

“Ibrahim, apa kata jika saya beli dahulu motosikal itu dengan harga RM3000. Kemudian saya jual kepada kamu dengan harga RM3600 dengan bayaran secara ansurans selama 12 bulan?”

Mendengar cadangan daripada rakannya, riak wajah Ibrahim kembali ceria.

“Bolehkah Sulaiman?”

“Boleh. Cara ini tidak salah tetapi dengan syarat perjanjian ini tidak mengikat kita”.

RIBA DALAM ISLAM

Riba menurut Dr. Umar Ibn Abd Aziz al-Matrak dalam bukunya yang bertajuk Riba dan Urusan Perbankan Menurut Pandangan Syariat Islam ialah:

“sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan atas hutang akibat penangguhan tempoh.”

Situasi antara Sulaiman dan Ibrahim ialah contoh riba yang berbentuk tambahan atas hutang akibat penangguhan tempoh.

Sementara contoh ringkas riba berbentuk tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) pula seperti berikut:

  • 5 kilogram beras ditukar 10 kilogram gandum secara bertangguh
  • 5 gram emas (jenis 916) ditukar dengan 6 gram emas (jenis 750)

Panduan asas mengapa dua contoh terakhir di atas tidak dibenarkan ialah hadis Nabi Muhammad (ﷺ):

“Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam (ditukarkan) sesama jenis, pada kadar yang sama, secara tunai (spot), sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran tunai.” [Imam Muslim, no. hadis 1587]

Riba Membantu, Kemudian Membunuh

RIBA MEMBANTU, KEMUDIAN MEMBUNUH

Soalan cepu cemas!:

Larangan apakah yang amat berat sehinggakan Allah Subhanahu Wa Ta’ala mengisytiharkan perang kepada sesiapa yang melakukannya?

Allah berfirman dalam surah al Baqarah, ayat 278-279 yang bermaksud:

Terjemahan: “Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.

Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.”

Jawapannya ialah larangan mengambil riba.

Mungkin ada yang bertanya lagi, apakah rasional di sebalik pengharaman riba?

Bekas presiden Nigeria dari tahun 1999-2007, Olusegun Obasanjo pernah memberi komen mengenai hutang yang dihadapi oleh negaranya:

Debt“All that we had borrowed up to 1985 or 1986 was around $5 billion and we have paid about $16 billion yet we are still being told that we owe about $28 billion. That $28 billion came about because of the injustice in the foreign creditors’ interest rates.”

“If you ask me what is the worst thing in the world, I will say it is compound interest.” [Jubilee 2000 news update, August 2000]

Jawapannya ialah syariat Islam menolak sebarang bentuk penindasan. Riba ditegah kerana ia menindas.

Analogi mudah seperti seorang miskin yang sedang dalam kesejukan dan kelaparan. Tidak ada harta benda yang tinggal kecuali selimut. Dia memerlukan wang untuk membeli makanan dan minuman.

Pemberi hutang yang ‘baik hati’ pun memberi hutang dengan mengenakan sedikit faedah. Jika si peminjam tidak mampu membayar pada tempoh masa yang ditetapkan, si pemberi hutang dengan ‘baik hati’ akan melanjutkan tempoh DAN menggandakan faedah. Jika si peminjam tidak mampu membayar juga, si pemberi hutang akan merampas selimutnya.

Membantu, kemudian membunuh! Itulah riba.

RIBA DALAM KONTEKS KEWANGAN DAN PERBANKAN SEMASA

Tidak dinafikan dalam konteks kewangan dan perbankan semasa, debu-debu riba bertebaran di merata tempat. Dengan kata lain, jika seseorang tidak memakan riba, mungkin dia akan terkena debu-debunya.

Namun begitu, pilihan sentiasa berada dalam tangan kerana usaha tangga kejayaan.

Sheikh Omar Suleiman dalam ucapannya mengenai riba di East Plano Islamic Center pada 7 Jun 2012 menekankan tentang betapa pentingnya bagi seorang Muslim untuk berusaha sedaya upaya menjauhi riba. Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah berfirman dalam surah al-Taghabun, ayat 16:

Terjemahan: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu;..”

Justeru itu, bagaimanakah cara bagi seseorang untuk berusaha mengelak daripada tersungkur jatuh ke dalam lembah riba?

Logo Perbankan IslamZahir Abdul Latheef dalam artikel bertajuk How can we avoid Riba? yang diterbitkan di laman sesawang Productive Muslim Dot Com pula telah mencadangkan 12 cara untuk mengelak riba.

Penulis memilih untuk menyenaraikan 4 sahaja kerana kaitannya yang rapat dengan konteks kewangan dan perbankan semasa iaitu:

  1. tidak mengambil pinjaman yang mempunyai faedah
  2. memilih pelaburan yang halal
  3. membuka akaun bank yang tidak ada faedah
  4. berurusan dengan perbankan Islam sahaja

4 cadangan yang ringkas dan mudah untuk dilakukan. Caranya adalah dengan memilih untuk berurusan dengan institusi-institusi perbankan dan kewangan yang beroperasi secara Islam sahaja seperti Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Bank Al Rajhi dan lain-lain.

Ingat bahaya riba, pilih perbankan Islam, selamat dunia akhirat. Insya-Allah.

AKHIR KATA

Kunci utama untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam jurang riba adalah dengan belajar kerana jika tidak kenal maka tidak benci. Tidak ada pelaburan yang lebih penting melainkan melabur dalam ilmu. Belajar dan bertindak.

Artikel ringkas ini hanya menyentuh sebahagian kecil daripada perbincangan riba. Hakikatnya perbincangan mengenai riba masih luas.

Persoalan-persoalan seperti apakah jenis-jenis riba dan bagaimanakah hendak mengenal pasti transaksi riba dalam urusan kewangan seharian tidak disentuh dalam artikel ini.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu Wa Ta’ala membantu dan merahmati semua. Amin.

Gambar: Google Image.

* Artikel ini turut diterbitkan di laman sesawang I Luv Islam Dot Com dengan tajuk yang sama.

1 comment… add one

Leave a Comment