Subur Harta, Bahagia Jiwa

Subur Harta Bahagia Jiwa

Dalam perjalanan menaiki kereta menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, kami bertiga sempat berbual dengan sahabat dari Sri Lanka mengenai pengurusan kewangan (personal wealth management), perkembangan industri kewangan Islam di Malaysia dan keunikan seni bina masjid di sini.

Apabila tiba di masjid, kebetulan khutbah Jumaat membincangkan topik yang mempunyai kaitan rapat dengan pengurusan kewangan iaitu zakat.

Dengan tajuk “Subur Harta, Bahagia Jiwa”, khatib menyebut bahawa zakat merupakan jalan (wasilah) untuk meraih redha Allah. Ia juga adalah salah satu cara untuk mendidik diri supaya tidak terikat dengan harta.

Allah berfirman dalam surah At-Taubah, ayat 103 yang bermaksud: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagi menggalakkan pembayaran zakat, khatib menggariskan beberapa langkah mudah seperti berikut:

  1. Menunaikan zakat secara potongan gaji. Sebagai contoh melalui Skim Thohir seperti yang diperkenalkan oleh Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam, Wilayah Persekutuan.
  2. Menyelami kehidupan orang yang susah dan lebih memerlukan.
  3. Usah membiarkan diri terikat dengan zakat yang telah dikeluarkan. Maksudnya, tidak perlu dikenang dan diingat-ingat pemberian zakat tersebut. Sebaliknya teguhkan niat membayar zakat kerana Allah.

Akhir sekali, Rasulullah bersabda: “Bukanlah kaya itu disebabkan banyak harta, tetapi kaya yang sebenarnya itu adalah kaya hati.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Dalam perjalanan pulang dari masjid, sahabat dari Sri Lanka itu berkongsi pula pengajaran penuh makna. Kata beliau, harta yang ada di tangan kita hakikatnya adalah hak milik mutlak Allah. Kita diamanahkan untuk menguruskannya dengan baik. Kerana menurut beliau lagi, dalam surah Al-Baqarah, ayat 3, Allah menyebut antara ciri orang yang bertakwa adalah mereka menafkahkan sebahagian rezeki yang Allah BERIKAN kepada mereka.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *