≡ Menu

Sucikan Dividen KWSP

Kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) simpanan Shariah bagi 2018 diisytihar pada 5.90%. Berbanding simpanan konvensional pada kadar 6.15%.

Bagi ahli-ahli yang beragama Islam yang telah menukar kepada simpanan Shariah, mereka boleh mengambil 5.90% sepenuhnya, kecuali sedikit yang perlu dikeluarkan sebagai zakat.

Bagi yang belum, ini masanya.

Inilah Masanya

Kerana menurut laman web KWSP, Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) telah memutuskan ahli yang bertukar ke Simpanan Shariah dikecualikan daripada melakukan penyucian dividen.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah diadakan pada 18 Ogos 2015 juga telah memutuskan KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke Simpanan Shariah.

Garis Panduan Penyucian Dividen KWSP

Walau bagaimanapun, ahli yang masih ingin melakukan penyucian dividen dinasihatkan untuk mengikuti garis panduan berikut:

Ahli perlu memastikan penyucian dividen yang hendak dilakukan itu tidak memudharatkan sehingga menjejaskan perbelanjaan asas diri sendiri serta tanggungannya berdasarkan syarat-syarat berikut:

Bagi ahli yang mencapai umur 50 tahun, jumlah simpanan KWSP setelah ditolak hutang (sekiranya ada) mestilah melebihi Simpanan Minimum yang ditetapkan iaitu:

  • Semenanjung: RM223,200;
  • Sabah/Labuan: RM280,800; dan
  • Sarawak: RM237,600.

Bagi ahli yang belum mencapai umur 50 tahun, pendapatan kasar bulanan isi rumah mestilah melebihi RM2,600.

Sekiranya syarat-syarat di atas tidak dipenuhi, ahli dinasihatkan untuk tidak melakukan penyucian.

Bagaimanakah caranya untuk saya melakukan penyucian ke atas dividen simpanan KWSP yang diterima sebelum bertukar ke Simpanan Shariah?

Saya petik dari sumber yang sama seperti di atas:

Penyucian hanya dilakukan pada kadar 50% daripada jumlah dividen. Jumlah dividen hendaklah ditentukan seperti berikut:

  1. Bagi ahli yang telah membuat pengeluaran penuh: Jumlah dividen yang dikreditkan ke akaun ahli setiap tahun sehingga dividen terakhir yang dibayar bagi pengeluaran penuh; atau
  2. Bagi ahli yang telah memilih Simpanan Shariah: Jumlah dividen yang dikreditkan ke akaun ahli setiap tahun sehingga dividen Simpanan Konvensional terakhir.

Penyucian boleh dilakukan menggunakan apa-apa sumber kewangan ahli.

Amaun penyucian hendaklah disalurkan kepada aktiviti-aktiviti kebajikan seperti bantuan fakir miskin, bencana alam, kos perubatan dan penjagaan kesihatan, kos pendidikan dan pembinaan/penyediaan kemudahan awam sama ada:

  • melalui Baitulmal di Majlis Agama Islam negeri masing-masing atau persatuan/ pertubuhan yang berdaftar sebagai badan kebajikan; atau
  • secara langsung kepada pihak yang memerlukan bantuan kewangan terutama sekali ahli keluarga yang tidak berkemampuan selain daripada ibubapa, isteri dan anak-anak (tanggungan wajib).

Penafian: Garis panduan penyucian dividen disediakan bagi tujuan panduan sahaja. Sila ambil maklum bahawa penulis atau KWSP tidak akan bertanggungjawab dan tidak akan menanggung sebarang kos atau kerugian ke atas apa-apa kekurangan atau kelebihan amaun bagi tujuan penyucian dividen.

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.