Tiada Rotan, Akar Pun Berguna

Adakah Perbankan Islam Sudah Islamik Sepenuhnya?“Apa pendapat Dr. mengenai industri perbankan dan kewangan Islam masa kini? Adakah ia sudah Islamik sepenuhnya atau belum?” saya mengajukan soalan.

Peluang yang ada, saya manfaatkan sepenuhnya. Jarang sekali dapat berjumpa dengan Dr. Ridzuan dalam bilik kecil beliau. Beliau sentiasa sibuk dengan urusan kelas dan universiti. Saya pula, buat-buat sibuk dengan urusan kerja.

“Belum sepenuhnya Islamik. Tetapi jika tiada rotan, akar pun berguna” jawab Dr. Ridzuan ringkas dan padat.

Saya berusaha memahami dengan lebih mendalam maksud yang ingin beliau sampaikan.

Suasana diam seketika. Saya diam. Dr. pun diam.

Bilik kecil beliau yang berterabur dengan buku-buku menarik perhatian. Bagi saya, ia satu pemandangan yang unik dan luar biasa. Ada ketika, saya suka meja yang berselerak dengan bahan bacaan yang bermanfaat. Oh!

Tiba-tiba, deringan telefon bimbit Dr. berbunyi memecah kesunyian. Beliau meminta izin untuk menjawab.

Saya menunggu sambil menyusun kata untuk menyambung bicara mengenai kewangan Islam.

Menceburi bidang kewangan Islam merupakan satu jihad. Ada perjuangan, ada pengorbanan. Manisnya kurang, pahitnya banyak.

Saya akui, masih banyak pembaikan yang mesti dilakukan dalam industri perbankan dan kewangan Islam supaya sepenuhnya Islamik. Hakikatnya, perjalanan baru sahaja bermula.

Jika marah nyamuk, jangan bakar kelambu. Kelak siapa yang rugi?

Hmm..masihkah ada pelapis dalam bidang kewangan Islam?

Pelapis Kewangan Islam

Saya terkejut daripada lamunan apabila telefon bimbit dalam poket seluar saya pula berbunyi. Bunyinya tidak berdering, cuma bergetar.

Mesej daripada penyelia, seorang pensyarah perempuan yang tegas dan baik. Saya tidak kisah jika dimarahi oleh beliau kerana raut wajahnya sering menyerlahkan naluri keibuan.

Marah beliau, marah mendidik. Bukan marah-marah.

Beliau bertanya:  “Anta dok mana, ana nak keluar dah ni.”

Saya belum puas berbual dengan Dr. Ridzuan. Banyak lagi yang hendak saya minta pendapat. Tetapi Dr. Noor sudah memanggil.

Selepas Dr. Ridzuan menghabiskan perbualannya di telefon, saya meminta diri untuk keluar.

Apabila keluar, Dr. Noor sudah berada di luar, sedang berbual dengan barisan pensyarah lain. Muka mereka kelihatan serius, pasti sedang berbincang hal yang penting. Saya duduk di kerusi tamu, menunggu giliran untuk bertemu dengan Dr. Noor.

Habis mereka berbincang, Dr. Noor datang dan bertanya: “Ya Hadi, di bahagian mana lagi yang saya perlu tandatangan?”

“Di sini Dr.” Saya menunjukkan satu bahagian dalam Borang Penyerahan Tesis.

“Ohh..ya. Baik, mari ikut saya. Cop rasmi saya ada dalam bilik.”

Sambil melihat Dr. menurunkan cop dan tandatangan, saya meminta izin untuk mengajukan soalan.

“Apa pendapat Dr. mengenai industri perbankan dan kewangan Islam masa kini? Adakah ia sudah Islamik sepenuhnya atau belum? Jika dilihat, banyak helah yang digunakan oleh industri perbankan dan kewangan Islam bagi menghalalkan sesuatu produk.”

Saya mengulangi tema soalan yang sama sepertimana yang saya ajukan kepada Dr. Ridzuan sebentar tadi

Selesai menurunkan cop dan tandatangan, Dr. Noor menjawab ….. (bersambung dalam artikel seterusnya)

Kredit gambar: banksbahrain.org & tradeandexportme.com

1 comment… add one

Leave a Comment