Lelaki dan perempuan saling melengkapi antara satu sama lain. Lelaki, kerjanya di luar. Sementara bagi perempuan, berada di rumah sesuai dengan fitrahnya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.” (Surah Al-Ahzab 33:33)

Tugas wanita yang mulia adalah membentuk generasi masa hadapan, iaitu mendidik. Mendidik boleh melalui mengajar, menyampaikan ucapan atau menulis. Wanita juga boleh memilih untuk menceburi bidang lain jika wujud keperluan; sama ada dia perlu kepada pekerjaan tersebut atau pekerjaan tersebut memerlukan khidmat dan kepakarannya.

Zaman kini, ada wanita yang bekerja bagi mengejar karier. Ada yang wanita bekerja bagi memberi sumbangan bermakna kepada diri dan masyarakat. Justeru, terdapat beberapa adab yang mesti dipatuhi kerana Nabi berpesan:

“Wanita itu aurat. Jika dia keluar dari rumahnya, maka syaitan akan mengikutinya. Dan tidaklah dia lebih dekat kepada Allah melainkan ketika dia berada di dalam rumahnya.” (Hadis riwayat Al-Tabarani)

Antara adab wanita bekerjaya adalah:

  1. Mendapat keizinan suami atau wali;
  2. Mengenakan pakaian yang sesuai dan menutup aurat;
  3. Bersederhana dalam berhias;
  4. Memastikan tidak wujud situasi berdua-duaan yang tidak menepati syarak;
  5. Menjaga etika pergaulan dan percakapan dengan orang lain;
  6. Tidak bersesak-sesak dengan lelaki di jalan, pasar atau dalam pengangkutan awam;
  7. Selamat dari fitnah dan kerosakan diri; dan
  8. Memastikan kerjaya tidak melekakan diri dari menunaikan tanggungjawab yang wajib kepada ibu bapa, suami atau anak-anak.

Wallahua’lam.

Gambar: thecontextofthings [dot] com