Arwah ayah saya baru saja meninggal dunia pada 2 bulan lepas. Jadi saya sebagai anak yang sulung perlu membantu emak saya untuk menguruskan beberapa hal termasuklah hal faraid.

Berkenaan dengan harta, arwah ayah saya sebenarnya tidak mempunyai harta yang banyak. Harta yang ditinggalkan hanyalah sebuah rumah, 2 buah kereta dan sedikit simpanan di bank. Arwah ayah saya pula seorang polis yang merupakan pekerja kerajaan. Manakala emak saya seorang suri rumah.

Seperti yang diketahui, sebagai kakitangan kerajaan akan mendapat duit gratuiti dan duit pencen. Masalah yang saya hadapi ialah, ada beberapa waris daripada adik beradik si mati menuntut hak mereka dengan cara melakukan faraid. Persoalannya, adakah duit gratuiti perlu dibahagikan mengikut faraid?

Untuk makluman, wang gratuiti itu diterima selepas arwah meninggal.

Jawapan:

Jika wang gratuiti itu diterima selepas kematian arwah, ia dikenali sebagai ‘ganjaran terbitan’. Berdasarkan kepada peruntukan dalam Akta Pencen 1980, ganjaran terbitan tidak tertakluk kepada hukum faraid.

Apabila diterima selepas mati, ia menjadi milik orang yang menerima, sama ada balu, anak, duda dan ibu bapa. Terpulang kepada mereka bagaimana hendak dibelanjakan. Berbeza jika diterima semasa hayat, ia menjadi milik arwah dan dengan demikian, tertakluk kepada hukum faraid.

Wallahua’lam.