Apabila akaun tidak mempunyai transaksi (tidak termasuk caj yang dikenakan atau untung yang dikreditkan) untuk tempoh berterusan selama sekurang-kurangnya 12 bulan, maka akaun itu dormant, iaitu tidak aktif.

Ambil contoh akaun simpanan. Apabila akaun berkenaan tidak mempunyai transaksi untuk tempoh berterusan selama 12 bulan, akaun simpanan itu menjadi dormant.

Apabila akaun masih dormant untuk tempoh 7 tahun, akaun tersebut akan diklasifikasikan sebagai wang tidak dituntut. Di bawah Akta Wang Tak Dituntut 1965 (Pindaan 2002), baki akaun akan dipindahkan kepada Pendaftar Wang Tak Dituntut.

Apakah Tanggungjawab Pelanggan?

Cakna wang anda.

Pelanggan perlu memastikan akaun mereka aktif, kerana wang itu adalah wang mereka.

Cara paling mudah adalah dengan melakukan transaksi sama ada mengeluarkan atau memasukkan (deposit) wang, walaupun dalam jumlah yang kecil.

Apakah Pula Tanggungjawab Bank?

Bank sebagai pemegang amanah (al-amin) pelabur (mudarib) atau wakil untuk melabur bertanggungjawab mengurus wang pelanggan mengikut terma & syarat yang dipersetujui bersama.

Bank akan mengikut prosedur seperti digariskan oleh Akta Wang Tak Dituntut 1965 apabila wang pelanggan menjadi dormant.

Ada baiknya jika bank mengambil sedikit initiatif (selain daripada menghantar notis) untuk berhubung dengan pelanggan supaya mereka dapat mengaktifkan akaun. Cari sehingga jumpa. Lebih-lebih lagi jika akaun berkenaan mempunyai jumlah yang BESAR dan berkaitan dengan kepentingan ramai seperti akaun masjid, tabung dan pendidikan.

Letakkan langkah ini di bawah Value-Based Intermediation (VBI) initiatif.