
Susulan daripada artikel yang lepas, saya terlintas untuk berkongsi pengalaman bagaimana khiyar berlaku. Ini melibatkan dua transaksi melalui platform jual beli yang sedang popular sekarang ini.
Transaksi Pertama: T-Shirt Putih
Kisah ini ringkas. Saiz yang diterima tidak sama seperti yang dibeli. Maksudnya, beli saiz lain, dapat saiz lain.
Bagi membuktikan baju yang diterima saiznya salah, saya telah mengambil gambar baju tersebut. Di setiap bahagian tertentu, saya meletakkan pita pengukur baju bagi membuktikan ukuran yang diterima adalah salah.
Saya membuat aduan melalui platfrom tersebut dan menyertakan bukti gambar yang telah diambil.
Alhamdulillah, kes ini tidak tertangguh terlalu lama. Setelah melalui proses siasatan, saya mendapat refund.
Transaksi Kedua: Sun Visor
Saya membeli sun visor. Namun barang yang diterima adalah barang lama. Buruk dan kotor.
Saya meminta refund kerana gambar yang dipaparkan tidak sama seperti yang diterima. Gambar memaparkan barang dalam keadaan yang sangat baik. Namun apa yang saya terima nyata sama sekali berbeza.
Penjual berdegil tidak mahu melayan permintaan saya. Alasan dia, kotoran itu boleh sahaja dicuci.
Saya tidak mahu kerana kotoran itu adalah kotoran berkulat yang tidak mudah ditanggalkan. Plastik yang membalutinya pula telah koyak dan ada kesan minyak hitam. Bagi saya, ini tidak sama seperti yang diiklankan. Saya tidak mahu produk ini.
Oleh kerana transaksi saya ini dibuat melalui platform, sudah tentu aduan saya adalah melalui platform tersebut.
Selepas beberapa hari ‘sesi berbahas’ dan mengemukakan bukti, penjual akur dengan permintaan refund saya. Saya diminta memulangkan barang tersebut. Dia pula telah diminta memulangkan wang yang telah dibayar.
Khiyar ‘Aib
Kedua-dua contoh di atas boleh diletakkan di bawah kategori khiyar ‘aib.
Khiyar ‘Aib: hak membuat pilihan yang diberi kepada pihak-pihak yang berkontrak untuk membatalkan akad apabila terdapat keaiban atau kecacatan pada barang jualan dan juga bayaran.
al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami
Selain itu, ketika belajar tentang Sale of Goods Act 1957, kami diberitahu bahawa akta ini lebih membela hak pengguna/pembeli berbanding penjual.
Jika kita mempunyai sebab yang kukuh dan bukti yang cukup, hak kita sebagai pengguna akan terbela. Ini dapat dilihat apabila platform tersebut memainkan peranan yang sangat penting bagi menyelesaikan pertikaian antara pihak terlibat, khususnya pembeli.
Wallahua’lam.
Leave a Reply