Bagaimana Mengurus Harta Berpandukan Surah al KahfiLama saya memerap fail Seminar Pengurusan Kehidupan Berteraskan Surah al-Kahfi di rak buku. Hari ini, hati tergerak untuk membelek.

Kulit hadapan fail sudah berhabuk. Apakah kandungan ilmu juga sudah berhabuk?

Tarikh seminar yang tertulis pada fail seminar ialah 21-22 dan 28-29 Januari 2012. Sudah lebih 1 tahun. Begitu lama!

Tiba masa untuk membersihkan habuk. Tiba masa untuk mengulang kaji.

WANG & HARTA

Daripada kandungan seminar, saya memilih untuk mengulangkaji satu topik yang dekat dengan kebanyakan orang iaitu wang atau harta.

Ramai orang mahu wang.

Ramai orang mahu kumpul harta.

Justeru itu, persoalan yang ditimbulkan ialah bagaimana hendak mengurus harta berpandukan surah al-Kahfi?

BAGAIMANA MENGURUS HARTA BERPANDUKAN SURAH AL KAHFI

Kisah pemilik dua kebun yang terdapat dalam surah al Kahfi, ayat 32 – 46 menjawab persoalan di atas.

Kisah bermula dengan dua orang lelaki. Salah seorang daripada mereka mempunyai dua kebun anggur yang dikelilingi oleh pokok kurma dan tanaman yang lain. Sebatang sungai mengalir di antara dua kebun. Dua kebun itu mengeluarkan hasil yang banyak.

Tuan kebun itu juga mempunyai harta yang lain. Semasa dia berdialog dengan sahabatya, dia berkata: “aku lebih banyak harta daripadamu dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”. Dia tersalah pandang. Dia menyangka harta dan pengikut yang ramai ialah segala-galanya.

Dia juga telah berlaku zalim kepada dirinya sendiri apabila menyangka kebunnya kekal. Dia masuk ke dalam kebunnya sambil berkata: “aku tidak fikir, kebun ini akan binasa selama-lamanya.”

Selain itu, dia juga tidak mempercayai hari kiamat akan berlaku apabila berkata: “aku tidak fikir hari kiamat akan berlaku; dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku (sebagaimana kepercayaanmu), tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini.”

Kemudian sahabatnya berkata: “Patutkah engkau kufur ingkar kepada Allah yang menciptakan engkau daripada tanah, kemudian daripada air benih, kemudian Ia membentukmu dengan sempurna sebagai seorang lelaki?”

“Tetapi aku sendiri percaya dan yakin dengan sepenuhnya bahawa Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak menyekutukan sesuatupun dengan Tuhanku.”

“Dan sepatutnya semasa engkau masuk ke kebunmu, engkau berkata: (Semuanya ialah barang yang dikehendaki Allah)! (tiada daya dan upaya melainkan dengan pertolongan Allah).”

mengurushartaberpandukansurahalkahfi

Kisah berakhir dengan kebinasaan yang ditimpa ke atas kebun si pemilik dan harta bendanya. Sambil menyesal, dia berkata: “alangkah baiknya jika aku tidak menyekutukan Tuhanku dengan sesuatu.”

MENGURUS HARTA BERPANDUKAN SURAH AL KAHFI

Setiap kejadian, ada yang mencipta iaitu Allah.

Sehebat-hebat manusia, berasal dari tanah dan akan kembali ke tanah juga.

Harta yang memberi kebaikan ialah harta yang diikat dengan kepercayaan kepada Allah. Allah yang maha memberi rezeki.

Untung di dunia bukan bererti untung di akhirat. Sungguhpun begitu, agama Islam menggalakannya penganutnya untuk mencari keuntungan di dunia, dengan syarat TIDAK lupa akhirat.

Usah berbangga dengan bilangan pengikut yang ramai.

Putus asa tidak dapat membantu. Hanya amal baik menjadi peneman.

Allahua’lam.

Gambar: Google Image.