Getty Images

Islam menetapkan bekerja dan memperoleh pendapatan sebagai salah satu prinsip asas bagi menyara kehidupan yang selesa untuk keluarga. Prinsip ini turut terpakai untuk banduan. Ini bertujuan menyediakan sokongan kewangan bagi mereka, khususnya apabila mereka dibebaskan kelak.

Dari sudut perundangan, Peraturan-peraturan Penjara 2000 menggariskan peruntukan tertentu untuk menjamin hak banduan. Hak tersebut termasuklah memperoleh jaminan kelangsungan kehidupan, mengamalkan agama, memperoleh pendidikan, mengekalkan hubungan dengan keluarga dan bekerja & memperoleh pendapatan.

Peluang untuk bekerja merupakan salah satu cara bagi menggalakkan pesalah atau banduan memiliki pendapatan. Hal ini dicerminkan melalui Peraturan 79. Bayaran bagi pekerjaan yang dilakukan pula dijamin oleh peruntukan yang berikutnya, iaitu Peraturan 80. Kebenaran untuk membelanjakan pendapatan yang diperoleh sepanjang menjalani tempoh penahanan dinyatakan dalam Peraturan 84 (1). Sementara itu, Peraturan 84 (2) menetapkan bahawa baki pendapatan dimasukkan dalam kredit banduan berkenaan dan diberikan kepadanya ketika dibebaskan dari penjara. Sebahagian pendapatan itu pula dihantar kepada keluarga atau untuk tujuan yang lain, sebagaimana diluluskan Ketua Pengarah. (Wan Roslili Abd. Majid dan Najibah Mohd Zain, Isu Dalam Penahanan dan Pemulihan Banduan di Malaysia, 2015)

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat tentang kedudukan banduan yang ditahan disebabkan hutang yang bekerja di dalam penjara. Hasan Abu Ghuddah menyebut tiga pendapat ulama.

Pendapat pertama melarang banduan bekerja semasa ditahan kerana hendak menghalang mereka daripada berasa selesa. Pendapat kedua menyebut tiada larangan untuk banduan bekerja di dalam penjara sebagai suatu bentuk sokongan kewangan bagi melunaskan hutang, nafkah keluarga dan sebagainya. Pendapat ketiga pula menyatakan hukum ini tertakluk kepada ijtihad hakim.

Saya cenderung kepada Hasan Abu Ghuddah yang memilih pandangan ketiga. Beliau juga menyebut pada asasnya, tiada larangan untuk banduan bekerja di dalam penjara.

Islam menggalakkan umatnya bekerja dan memuliakan kesungguhan mereka yang bekerja. Islam juga melarang daripada sikap bermalas-malasan dan tidak bekerja. Baca firman Allah kepada Nabi Daud dalam surah Saba’, ayat 11 yang bermaksud:

“Buatlah baju-baju besi yang luas labuh dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki.”

Dalam surah yang sama, ayat 13, Allah berfirman yang bermaksud:

“Beramallah kamu wahai keluarga Daud untuk bersyukur!”

Dalam kedua-dua ayat, ‘buatlah’ dan ‘beramallah’ adalah saranan untuk bekerja.

Dalam sebuah Hadis, Abu Hurairah berkata: Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda:

“Jika sekiranya salah seorang di antara kamu berangkat pada waktu pagi untuk mencari kayu lalu dia memikulnya di atas belakangnya. Kemudian dia bersedekah dengannya dan tidak mengharapkan pemberian dari orang lain, maka itu adalah lebih baik baginya dari meminta-minta daripada orang lain. Tanpa mengira sama ada orang itu memberi kepadanya ataupun tidak kerana tangan yang berada di atas itu lebih mulia daripada tangan yang berada di bawah dan mulailah dengan memberi nafkah atau mendidik orang yang berada di bawah tanggunganmu terlebih dahulu.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Hadis di atas memberi mesej jelas galakan untuk bekerja dan berusaha demi kesejahteraan hidup.

Berdasarkan penerangan ringkas di atas, saya berpandangan banduan di dalam penjara mempunyai hak untuk bekerja dan memperoleh pendapatan.

Wallahua’lam.