Ramai yang membuat posting di laman sosial membincangkan pasal perbankan dan kewangan Islam. Ada yang mengkritik, dan ramai juga yang mendokong. Isu utama adalah, adakah perbankan Islam itu benar-benar Islam.

Perlu diingat, dalam mempraktis Islam, kita mempunyai kaedah tadarruj (peringkat demi peringkat). Tidak semua hukum Islam dapat kita laksanakan semuanya dalam satu malam. Ada yang senang dilaksanakan, dan ada yang susah. Sebab itu, ulama mendatangkan kaedah:

ما لا يدرك كله لا يترك جله
Bermaksud: sesuatu yang tidak boleh dibuat semua, tidak ditinggalkan perkara yang boleh dilaksanakan.

الميسور لا يسقط بالمعسور
Bermaksud: yang mudah tidak ternafi (kewajipan melaksanakan) walau ada yang susah dipraktiskan.

Maka di sinilah bermulanya usaha para ulama membina sistem kewangan dan perbankan Islam. Mereka melakukan ijtihad membuang unsur-unsur haram dalam sistem kewangan Islam.

Apa Unsur yang Haram dalam Kewangan Islam?

Stop RibaPerbankan Islam menjauhkan diri daripada perkara yang nyata pengharamannya iaitu:

  1. Riba;
  2. Perjudian; dan
  3. Gharar (ketidakpastian)

Bagaimana Pula Unsur Kezaliman?

Zalim adalah perkara subjektif. Pendokong riba mengatakan riba dan bunga bukan sesuatu yang zalim, sebab ia membantu membangunkan ekonomi. Jadi, kadar bunga yang ada dipasaran adalah berpatutan. Bahkan interest dan bunga telah menjadi pembangun dan pemangkin ekonomi.

Namun, ulama Islam menolak pengharusan riba sebab apa-apa yang Allah SWT dan RasulNya mengatakan haram, maka haramlah ianya. Jadi, bukan kadar atau peratusan yang menjadi tajuk utama, tetapi cara pengambilan menerusi bunga itu adalah diharamkan.

Salahkah Mengambil Untung Berlebihan dalam Berjual Beli?

highprofitinislamicbankingKalau boleh sememangnya ulama mahu mengatakan ianya adalah haram. Namun, tiada nas daripada al-Quran dan Sunnah yang menyebut bahawa harga mesti sekali ganda, atau dua kali ganda, atau sepuluh kali ganda.

Bahkan, pada zaman Nabi SAW, harga barang menjadi mahal, sehingga ada di kalangan sahabat meminta Nabi SAW menentukan harga. Namun ditolak oleh Nabi SAW, baginda tidak mahu baginda dituntut di hari akhirat kelak kerana menafikan hak para peniaga.

Walaupun begitu, ada beberapa ijtihad ulama yang menyebut makruh menaikkan harga bahan makanan melebihi satu kali ganda, atau kadar yang tertentu.

Jika begini keadaannya, maka perbankan dan kewangan Islam di landasan yang betul untuk menjadi satu sistem Islam yang baik. Namun, adakah ia sudah sempurna? Saya katakan belum, masih banyak yang perlu dilakukan untuk mengeluarkan perbankan dan kewangan Islam daripada kerangka sistem kapitalis. Jadi, boleh terus mengkritik untuk memastikan perbankan Islam di landasan yang betul, namun mengatakannya 100 peratus salah, sebenarnya kita mendedahkan kejahilan diri kita dengan pendekatan ulama-ulama Islam.

Wallahu ta’ala a’lam.

Sumber: Artikel ini disalin dari laman sosial facebook Dr. Asmadi Mohamed Naim dengan sedikit suntingan, namun masih mengekalkan maksud asal yang hendak disampaikan.