Jaminan dan Ulasan dalam Perniagaan Online

Dalam perniagaan online, siapa yang perlu bertanggungjawab jika ada kecacatan pada barang yang dijual/dibeli, lebih-lebih jika dibuat melalui platform, seperti Shopee, Zalora, dan lain-lain.

Penjual? Pembeli? Atau orang tengah seperti platform/dropshipper?

Bilakah kecacatan itu terjadi? Di bawah tanggungan siapa? Ada bukti? Apa pilihan yang ada?

Ini antara isu yang mungkin timbul apabila kita melakukan transaksi online.

Jadi, terma & syarat mesti jelas dan dapat difahami dengan baik. Ini bertujuan bagi mengelak daripada elemen gharar sekaligus menjaga kepentingan semua pihak.

Jika berlaku pertikaian, pilihan yang ada adalah sama meneruskan atau membatalkan kontrak. Namun ini bergantung kepada bagaimana kontrak dimeterai/transaksi dilakukan.

Dalam fiqah muamalat, hal ini dibincang dalam bab khiyar.

Khiyar

Khiyar atau pilihan boleh diertikan sebagai hak pihak yang berakad sama ada ingin meneruskan akad atau membatalkannya berdasarkan sebab-sebab yang diharuskan oleh Syarak.

Dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Addillatuh oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, terdapat beberapa jenis khiyar. Kita boleh fokus kepada empat pembahagian berikut secara ringkas:

  1. Khiyar Majlis: hak atau pilihan bagi kedua belah pihak iaitu penjual dan pembeli sama ada untuk meneruskan transaksi atau membatalkannya selagi masih berada di tempat (majlis) transaksi itu;
  2. Khiyar Syarat: pilihan untuk membatalkan jualan yang telah dipersetujui dalam tempoh waktu tertentu;
  3. Khiyar ‘Aib: hak membuat pilihan yang diberi kepada pihak-pihak yang berkontrak untuk membatalkan akad apabila terdapat keaiban atau kecacatan pada barang jualan dan juga bayaran; dan
  4. Khiyar Ru’yah: hak membuat pilihan yang diberi kepada pembeli sama ada ingin meneruskan kontrak atau membatalkannya apabila telah melihat barang jualan yang tidak dilihatnya semasa melakukan akad.

Review

Satu lagi aspek yang penting adalah memberi ulasan (review).

Antara contoh ulasan yang sering diberikan: terbaik, barang cepat sampai, arrived in good conditionpackaging cantik, dan lain-lain.

Semua ulasan ini okay.

Namun bagaimana jika kita upgrade sikit. Mungkin boleh cerita serba sedikit pengalaman menggunakan produk. Contoh, apa kelebihan, kelemahan atau perasaan selepas menggunakan produk yang dibeli.

Ulasan seperti ini pasti berguna untuk bakal pembeli lain. Daripada situ, kita juga dapat membina kredibiliti sebagai trusted reviewer secara tidak langsung. Barulah canggih!

Wallahua’lam.

1 thought on “Jaminan dan Ulasan dalam Perniagaan Online”

  1. Pingback: Bagaimana Khiyar Terlaksana – Muamalat Kewangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *