Dunia ini hina. Namun sehina-hina dunia, bukan bermaksud untuk diabaikan. Dunia adalah ladang akhirat, juga jambatan menuju ke sana.
Persoalan utama adalah bagaimana untuk melalui jambatan itu, melepasi semua tol yang ada, sama ada tunai, ‘touch n go’ atau ‘smart tag’, supaya selamat sampai ke negeri akhirat.
Jika di Malaysia, kita mengguna pakai mata wang Ringgit. Namun untuk melepasi tol menuju ke negeri akhirat, mata wang yang diguna pakai adalah pahala.
Pahala duit akhirat
Cara mudah untuk mendapatkan mata wang pahala adalah melalui tukaran mata wang ringgit dengan infaq.
Ada banyak cara untuk berinfaq seperti mengeluarkan zakat, memberi sedekah sunat dan melaksanakan amalan waqaf.
Contoh:
- Mengeluarkan zakat apabila sampai masa dan cukup syarat. Zakat wajib ada dua; zakat fitrah dan zakat harta.
- Memberi wang kepada ayah dan emak pada setiap bulan. Ada berkat, insya-Allah.
- Menyemarakkan amalan waqaf demi kebaikan umat Islam sejagat.
Surah al-Taghabun, ayat 17 memberi berita gembira bahawa berinfaq pada jalan Allah adalah satu bentuk ‘pinjaman’. Pinjaman ini akan ‘dibayar semula’ dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Syaratnya cuma satu iaitu ikhlas kerana Allah.
Bagaimana memastikan setiap apa yang kita lakukan adalah kerana Allah?
Dunia Ruang Ibadah
Firman Allah dalam Surah al-Dzariyat, ayat 56 yang bermaksud: “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu.”
Dari sudut tatabahasa arab, struktur ayat ini memberi maksud tujuan kita dicipta adalah semata-mata untuk beribadah. Hanya beribadah, tiada yang lain. Inilah jawapannya; pengangkutan untuk dinaiki, melalui jambatan dunia supaya sampai ke akhirat.
Apa yang kita buat dalam kehidupan seharian, pasti kita akan berada dalam keadaan sama ada berdiri, duduk atau baring. Bukankah begitu?
Perhatikan terjemahan al-Quran, surah Ali Imran, ayat 191 yang menerangkan siapakah orang yang berakal: “Mereka adalah orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring.”
Jadi, untuk memanfaatkan aktiviti harian yang bermanfaat supaya semuanya menjadi ibadah, gabungkan dunia dengan akhirat. Contoh: meminum air kerana Allah. ‘Minum air’ adalah dunia. ‘Kerana Allah’ adalah akhirat.
Flickr: Reymond Galvez
Leave a Reply