Ribh dan Riba. Dua-dua ‘untung’. Yang pertama boleh ambil. Yang kedua, lari jauh-jauh.
Apa itu ribh?
Apa pula riba?
Apakah elemen untung yang ada pada kedua-duanya?
Mengapa untung ribh boleh ambil, sedangkan untung riba tidak boleh?
RIBH
Ribh adalah sebutan bagi perkataan Bahasa Arab: ربح yang diterjemah sebagai keuntungan. Terdapat satu kontrak dalam fiqah muamalat yang mengguna pakai perkataan ribh sebagai kata dasar, iaitu akad murabahah.
Memetik huraian Dr. Zaharuddin Abd. Rahman dalam buku beliau; Panduan Perbankan Islam, Kontrak & Produk Asas, murabahah bermaksud: jualan dengan harga yang lebih tinggi daripada harga modal.
Dalam kontrak murabahah, disyaratkan kepada pembeli untuk memaklumkan harga modal dengan penuh amanah. Sebarang penipuan harga modal akan membawa kepada rosaknya akad jual beli ini.
Contoh: seseorang menjual sebuah rumah yang dibelinya dengan harga RM 150 000 dengan harga RM 200 000 dan dimaklumkan kepada pembeli akan harga asal beliannya.
Dalam contoh transaksi di atas, penjual meraih keuntungan sebanyak RM 50 000. Inilah untung, atau ribh.
Penerangan di atas adalah penjelasan mudah untuk memahami erti ribh.
RIBA
Menurut Dr. Zaharuddin Abd. Rahman lagi, takrif riba yang paling lengkap menurut kajian beliau adalah definisi yang diberikan oleh Dr. Umar Abd Aziz al-Matrak dalam kitab al-Riba wa al-Mu’amalat:
Sebarang tambahan dalam barangan tertentu (ribawi) dan tambahan di atas hutang akibat penangguhan tempoh.
Riba mempunyai beberapa bahagian. Saya cenderung kepada pembahagian riba kepada empat iaitu:
- Riba al-qardh
- Riba al-jahiliyyah
- Riba al-fadhl
- Riba al-nasi’ah
Contoh Riba al-Qardh dan Riba al-Jahiliyyah
Adi meminjamkan kepada Putra sebanyak RM100. Adi mengenakan caj faedah sebanyak RM10 (riba al-qardh). Putra perlu melunaskan hutang dalam masa 1 bulan. Jika lambat bayar, Adi akan mengenakan lagi tambahan caj faedah 1% ke atas jumlah baki pinjaman; RM110 (riba al-jahiliyyah).
Adi mendapat untung RM10 pada peringkat awal pinjaman dibuat. Adi juga akan mendapat untung jika Putra lambat melunaskan hutang pada masa yang dijanjikan. Kedua-dua untung ini tidak boleh diambil kerana riba.
Contoh Riba al-Fadhl
Adi dan Putra mahu menukar wang kertas dan duit syiling. Adi memberi wang kertas RM50 dan Putra memberi duit syiling berjumlah RM49.
Jumlah tidak sama. Adi mendapat untung RM1, namun ia tidak dibenarkan kerana riba al-fadhl. Cara untuk elak adalah jika mata wang sama, maka jumlah tukaran juga mesti sama. Tidak boleh kurang, tidak boleh lebih.
Contoh Riba al-Nasi’ah
Putra mahu menukar Ringgit dengan USD. Putra datang berjumpa dengan Adi. Sebagai contoh mengikut kadar tukaran semasa, USD1 bersamaan dengan RM4. Jika ditukar, Putra akan mendapat USD125.
Putra memberi wang RM500 tersebut. Oleh kerana Adi kekurangan wang USD, Adi berjanji akan memberikan jumlah tukaran dalam beberapa hari lagi.
Walaupun Adi seperti tidak mengaut keuntungan, namun transaksi ini tidak dibenarkan. Dalam pertukaran mata wang, syaratnya jangan diselangi masa dan waktu. Supaya tidak terjebak dalam riba al-nasi’ah.
Wallahua’lam.
Flickr: Kirssdhana Y, nids88 & Reymond Galvez
Leave a Reply