Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bagi memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, bermula pada 18 Mac 2020 dan telah dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Pada 10 April 2020, tempoh PKP dilanjutkan lagi sehingga 28 April 2020.

Pada 16 Mac 2020, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah telah dibuat bermula 17-26 Mac 2020.

Pada 24 Mac 2020 pula, pelanjutan tempoh penangguhan semua aktiviti masjid dan surau telah dibuat sehingga berakhirnya tempoh PKP.

Kami diajukan soalan: bagaimanakah hukum urus niaga yang dijalankan pada hari Jumaat, jam 12.30 tengah hari sehingga 2.30 petang dalam tempoh PKP, sedangkan pada waktu itu kebiasaannya kita semua menunaikan solat Jumaat?

Urus Niaga pada Waktu Solat Jumaat

Pada asasnya, larangan transaksi urus niaga pada waktu solat Jumaat adalah disebabkan kewajipan untuk menunaikan solat Jumaat.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Surah al-Jumu’ah (9)

Dalam firman Allah SWT: “وَذَرُوا الْبَيْعَ” (dan tinggalkanlah berjual-beli), Ibn Kathir menjelaskan: “Maksudnya bersegeralah kamu beralih untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual beli apabila diseru untuk mengerjakan solat. Para ulama sepakat mengharamkan jual beli yang dilakukan setelah dikumandangkan azan yang kedua. (Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/316)

Hukum Urus Niaga pada Hari Jumaat (12.30PM – 2.30PM) dalam Tempoh PKP

Oleh kerana semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat telah ditangguh dalam keadaan sekarang, maka larangan untuk berurus niaga pada waktu solat Jumaat telah terangkat.

Maka, dibenarkan untuk melakukan transaksi pada waktu tersebut. Namun dinasihatkan untuk sentiasa menghormati waktu untuk menunaikan solat zuhur.

Jika boleh, tidak keluar pada waktu tersebut untuk berurus niaga, membeli barang keperluan dan sebagainya. Hentikan seketika semua aktiviti.

Hormati Jumaat, martabatkan syiar Islam.

Wallahua’lam.