
Un sablier via Shutterstock
SOALAN: Bolehkah perempuan dalam iddah kerana kematian suami keluar berniaga atau pergi bekerja?
Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib beriddah, tetapi juga wajib berkabung. Iddah adalah tempoh tertentu yang ditetapkan ke atas seorang wanita selepas diceraikan atau selepas kematian suami. Sementara berkabung pula adalah meninggalkan perhiasan dan seumpamanya bagi wanita yang sedang beriddah kerana kematian suami.
Setiap wanita dalam iddah dibenarkan keluar, sekiranya sokongan kewangannya tidak diberi mandat kepada sesiapa dan tiada sesiapa yang melengkapkan keperluannya. Ini disebut dalam kitab Mughni Al-Muhtaj.
Dalam satu hadis, Jabir Bin Abdullah menceritakan: ibu saudara saya telah diceraikan dan dia mahu memetik kurma. Ada orang menegurnya kerana keluar semasa iddah. Dia datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Baginda bersabda: “sudah tentu kamu boleh memetik kurma daripada pohonnya, supaya kamu boleh bersedekah sebahagian daripadanya atau berbuat baik dengannya.” (Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)
Imam Nawawi menyebut: “seorang wanita dalam iddah kerana kematian suami boleh keluar bagi memenuhi keperluannya seperti membeli makanan, menjual barangan atau sebagainya. Dia juga boleh keluar pada waktu malam untuk menziarahi jiran dan berbual dengan mereka. Akan tetapi dia tidak boleh menghabiskan waktu malam dengan mereka, sebaliknya dia mesti pulang dan tidur di rumah.”
Ibnu Taimiyyah juga menyebut: “jika perempuan dalam iddah keluar bagi memenuhi keperluannya dan dia tidak menghabiskan waktu malam di luar rumah, maka tidak menjadi masalah baginya untuk keluar.”
Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut menjelaskan batasan hukum semasa bagi perempuan dalam tempoh iddah kerana kematian suami.
Antara batasan hukum tersebut adalah: “mereka tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir, ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.”
Wallahua’lam.
Leave a Reply