Zakat Akaun Simpanan

Cara kira zakat akaun simpanan adalah berbeza, tertakluk kepada majlis agama negeri masing-masing.

Baki Semasa

Ada yang mengambil jumlah semasa baki akaun di hujung haul (cukup 354 hari, tahun qamari) atau tarikh akhir (cut-off date). Jika baki melebihi paras minimum (nisab), darabkan dengan 2.5% dan jumlah tersebut dikeluarkan sebagai zakat.

Contoh, tarikh akhir adalah 31 Oktober 2019. Pada masa tersebut, jumlah baki semasa adalah RM50,000. Pada tahun 2019, katakanlah paras minimum yang dikenakan zakat adalah RM13,968.00. Maka jumlah RM50,000 telah melebihi paras tersebut.

RM50.000 x 2.5% = RM1,250 (dikeluarkan sebagai zakat).

Baki Terendah

Ada yang mengambil baki terendah sebagai tanda aras untuk mengira zakat. Maksudnya dalam tempoh haul, ambil baki bulanan terendah. Jika baki tersebut melebihi nisab, darabkan dengan 2.5% dan jumlah tersebut dikeluarkan sebagai zakat.

Ada beberapa pendekatan diambil bagi menentukan bermulanya haul. Antaranya, kiraan haul bermula sebaik sahaja baki bulanan mencukupi nisab. Jika dalam tempoh itu, baki berkurang di bawah nisah, kiraan haul akan terbatal dan akan bermula semula apabila jumlah kembali cukup nisab. Cara ini boleh disebut sebagai ‘flexible haul’.

Cara lain adalah ‘fixed haul’. Tentukan haul, contoh Ramadhan sehingga Ramadhan seterusnya. Kemudian dalam tempoh tersebut, kenal pasti baki terendah. Jika baki tersebut melebihi nisab, darabkan dengan 2.5% dan jumlah tersebut dikeluarkan sebagai zakat.

Bagaimana jika ada banyak akaun?

Gabungkan kesemuanya. Jika melebihi nisab, maka dikenakan zakat.

Perkhidmatan Mengira & Membayar Zakat

Ada beberapa institusi yang menawarkan khidmat mengira dan membayar zakat ke atas akaun simpanan kita. Perkhidmatan seperti ini dapat membantu kita melaksanakan tanggungjawab agama, lebih-lebih lagi apabila mempunyai beberapa akaun.

Boleh dapatkan nasihat di institusi dan majlis agama negeri untuk maklumat lanjut dan terkini jika ada.

Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *